Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

WorldTechnology
12 Aug 2026 • 6:35 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Cabaran peringkat antarabangsa program Tun Fatimah Ideas Challenge (TFIC) 2026 menyaksikan penyertaan pasukan daripada lima negara yang membentangkan idea membangunkan penyelesaian digital bagi kelestarian lautan global.

TFIC 2026 dianjurkan Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru dan merekodkan penyertaan 30 pasukan iaitu 22 pasukan dari Malaysia, Indonesia (empat), Singapura (dua) dan masing-masing satu dari Brunei serta Turkiye.

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Program bertemakan Code the Ocean: Youth Innovation for a Sustainable Future itu turut mendapat kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Apple Malaysia.

Cabaran sepenuhnya dalam talian itu memberi tumpuan kepada isu sebenar berkaitan kelestarian lautan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 14: Kehidupan Di Bawah Air, dengan peserta dikehendaki menjalankan penyelidikan terhadap isu terpilih sebelum membangunkan penyelesaian digital yang bermakna.

Majlis penutupan TFIC 2026 disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), Kementerian Pendidikan, Nooraini Kamaruddin menerusi siaran Youtube STF pada 29 Julai lalu.

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Pasukan Sea Ranger daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak dinobatkan sebagai Johan TFIC 2026, diikuti pasukan Provein daripada Al Azhar Cairo Islamic Middle School, Palembang, Indonesia muncul Naib Johan manakala tempat ketiga disandang pasukan Sea Pals daripada SM Sains Sultan Mahmud.

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Tempat keempat dimenangi pasukan The Meredian Navigation System (Sekolah Dato’ Abdul Razak) manakala Bakau Kita (Kolej Melayu Kuala Kangsar) di tempat kelima.

Empat pasukan penerima penghargaan ialah Ficean dari STF, Ocean Girls mewakili Nanyang Girls’ High School, Singapura, pasukan Form 3 daripada SMK Tasek Utara dan Sea. Zip dari Al Azhar Cairo Islamic Junior High School, Palembang.

Kesemua mereka menerima sijil dan plak.

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Nooraini berkata, walaupun program itu berlangsung dalam talian namun semangat kerjasama, inovasi dan persahabatan yang terjalin berjaya merentasi sempadan negara dan menyatukan peserta sebagai sebuah komuniti global yang bersama-sama berusaha membina masa depan lebih baik.

 

 

 

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

“Dunia kini berdepan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan lestari. Cabaran ini memerlukan idea yang berani dan segar daripada generasi muda yang mampu berfikir secara kritis serta bertindak secara kreatif,” katanya.

Beliau berkata, TFIC 2026 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya menjadi platform kepada peserta menyelesaikan masalah dunia sebenar, membangunkan prototaip yang berfungsi serta menguasai kemahiran penting abad ke-21 termasuk kreativiti, kolaborasi, komunikasi dan pemikiran kritis.

“Teruskan belajar antara satu sama lain, terus berkongsi idea dan ingatlah bahawa setiap perubahan besar bermula dengan satu idea yang berani,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada STF atas kejayaan menganjurkan TFIC yang julung kali diadakan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan komitmen sekolah dalam menyemai kreativiti serta membina jaringan kerjasama global dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Pengetua STF, Radziah Mohd Din berkata, penganjuran TFIC 2026 merupakan satu perjalanan yang cukup bermakna apabila peserta mempamerkan kreativiti, inovasi dan semangat kolaborasi sepanjang pertandingan berlangsung.

Beliau berkata, walaupun pertandingan dijalankan sepenuhnya secara maya namun kehadiran, komitmen dan kesungguhan semua peserta telah menjadikan program berkenaan sebagai satu pengalaman yang bermakna dan tidak dapat dilupakan.

TFIC 2026 antaranya memberi tumpuan mengenai kesan lautan dan perubahan iklim, pencemaran marin, kerosakan ekosistem marin, amalan perikanan tidak lestari serta cabaran kelestarian sumber air.

Image from: Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026

Setiap pasukan dikehendaki menghasilkan prototaip aplikasi berasaskan Keynote menggunakan aplikasi natif Apple, portfolio berasaskan proses Design Thinking serta video pembentangan berdurasi tiga minit.

Peserta turut digalakkan meneroka isu yang spesifik dan berasaskan penyelidikan, selain menghasilkan penyelesaian yang kreatif, asli, praktikal dan berpotensi memberikan impak alam sekitar yang boleh diukur.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) turut dibenarkan sebagai sokongan kepada penyelidikan dan pembangunan idea dengan had maksimum 20 peratus, manakala konsep, reka bentuk dan penyelesaian akhir mestilah mencerminkan pemikiran serta kreativiti asli peserta.

“Penganjuran TFIC 2026 akhirnya bukan sahaja mengetengahkan bakat dan potensi inovator muda malah memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa serta menyemai kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan generasi muda,” kata Pengetua STF itu lagi.

KEPUTUSAN PENUH TUN FATIMAH IDEAS CHALLENGE (TFIC) 2026

Johan
Sea Ranger
SBP Integrasi Gombak

Naib Johan
Provein
Al Azhar Cairo Islamic Middle School, Palembang, Indonesia

Tempat Ketiga
Sea Pals
SM Sains Sultan Mahmud

Tempat Keempat
The Meredian Navigation System
Sekolah Dato’ Abdul Razak

Tempat Kelima
Bakau Kita
Kolej Melayu Kuala Kangsar

PENGHARGAAN (HONOURABLE MENTION)

 Ficean
Sekolah Tun Fatimah (STF)
Ocean Girls
Nanyang Girls’ High School, Singapura
 Form 3
SMK Tasek Utara
 Sea. Zip
Al Azhar Cairo Islamic Junior High School, Palembang, Indonesia

UTUSAN

The post Lima negara bincang isu kelautan dan penyelesaian digital dalam TFIC 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved