
PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam Pameran Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2026 berjaya menjana jualan eksport bernilai RM791.54 juta (AS$192.36 juta) selepas lima hari rundingan perniagaan intensif di United Kingdom dari 20 hingga 24 Julai lalu.
Penyertaan itu diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan kerjasama National Aerospace Industry Corporation Malaysia (Naico), manakala Pavilion Malaysia memudah cara 148 pertemuan perniagaan antara syarikat Malaysia dengan pemain industri aeroangkasa antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, hasil komersial yang kukuh itu mengesahkan daya saing Malaysia yang semakin meningkat sebagai rakan kongsi pembuatan aeroangkasa dan rantaian bekalan yang dipercayai.
Katanya, ia turut mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam merealisasikan aspirasi yang digariskan di bawah Pelan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.
“Industri aeroangkasa Malaysia menjana hasil RM32.5 bilion pada 2025, dengan eksport menyumbang RM7.95 bilion atau 24.5 peratus daripada jumlah hasil industri.
“Ketika kita berusaha mencapai sasaran MAIB 2030 sebanyak RM55.2 bilion hasil industri, pengembangan eksport bernilai tinggi akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan.
“Ini seiring dengan pembuatan aeroangkasa domestik, penyelesaian pembuatan aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan,” katanya dalam kenyataan.
Pencapaian itu mengukuhkan daya saing Malaysia yang semakin meningkat sebagai rakan kongsi pembuatan aeroangkasa dan rantaian bekalan yang dipercayai.
Beliau berkata, FIA 2026 mengukuhkan keyakinan global terhadap keupayaan aeroangkasa Malaysia.
“Ia sekali gus mewujudkan peluang bernilai kepada syarikat tempatan untuk memperoleh program bernilai lebih tinggi, memperkukuh kerjasama dengan pengeluar peralatan asal (OEM) global dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan antarabangsa.
“MATRADE akan terus memperluas peluang akses pasaran bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berkembang ke peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri aeroangkasa negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Ir. Ts. Dr. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, pencapaian kukuh pada FIA 2026 menunjukkan kedalaman, kesediaan teknikal dan kematangan ekosistem aeroangkasa Malaysia yang semakin berkembang.
“Ketika OEM global mempercepatkan peningkatan pengeluaran dan mencari rakan kongsi rantaian bekalan yang berdaya tahan, NAICO Malaysia kekal komited memperkukuh keupayaan serta penerapan teknologi dalam kalangan pembekal tempatan.
“Pencapaian seperti pengiktirafan yang diterima CTRM Aero Composites pada Aero Excellence International Awards membuktikan pematuhan industri kita terhadap piawaian kualiti global.
“Pada masa akan datang, NAICO Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan MATRADE dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk membangunkan bakat tempatan, memacu inovasi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara di bawah Pelan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 (MAIB2030),” katanya.
Selain ruang pameran, Pavilion Malaysia Maya milik MATRADE di platform MADANI Digital Trade Platform (MDTP) turut menerima sambutan antarabangsa yang menggalakkan sepanjang FIA 2026. – UTUSAN
The post Malaysia raih RM791.54 juta jualan eksport di UK appeared first on Utusan Malaysia.






