Kes kokain di Jepun: 'Mereka adalah keldai dadah' - Hussien

16 Oct 2026 • 5:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes kokain di Jepun: 'Mereka adalah keldai dadah' - Hussien
Laporan Sinar Harian dan Hussein Omar Khan (kanan)

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu merupakan pasangan suami isteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan dari Sarawak itu dipercayai mengajak tiga rakan mereka untuk bercuti di Jepun sebelum kelima-lima mereka ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Menurutnya, setiap seorang daripada mereka diberikan sepasang kasut yang dipercayai telah diletakkan dadah oleh sindiket berkenaan.

“Mereka daripada Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), daripada KLIA mereka pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa di Tokyo. Jadi, kita percaya mereka semua mengetahui apa yang mereka bawa.

“Mereka adalah keldai dadah. Mereka diberi ganjaran RM8,000 seorang untuk membawa kasut itu,” katanya pada sidang media di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Hoo Chuan Huat.

Hussein berkata, kelima-lima individu itu dipercayai mengetahui barangan yang dibawa mereka mempunyai kaitan dengan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, kumpulan itu turut menggunakan khidmat seorang ejen pelancongan dari Kuala Lumpur bagi menguruskan perjalanan mereka.

Bagaimanapun, ejen pelancongan berkenaan tidak ditahan dan sudah pulang ke Malaysia kerana dipercayai tidak mengetahui kegiatan penyeludupan dadah itu.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan mendapati kelima-lima individu berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada mereka pernah ke negara lain menggunakan modus operandi sama atau mempunyai penglibatan lebih luas dengan sindiket dadah berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya berhati-hati apabila menerima tawaran melancong, terutama jika diberikan barangan seperti kasut, beg atau peralatan lain untuk dibawa ke luar negara.

Katanya, orang ramai perlu memastikan kandungan barangan yang dibawa bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sindiket sebagai keldai dadah.

Sebelum ini, pihak berkuasa Jepun menahan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu selepas menemui kira-kira lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut mereka.

Media Jepun menganggarkan dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira 120 juta yen atau RM3.1 juta.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved