Lima Tahun Tiada Air, Hampir Dua Minggu Bergelap: ADUN Merlimau ‘Terkejut’ Temui Keluarga Hidup Serba Kekurangan

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 10:01 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Lima Tahun Tiada Air, Hampir Dua Minggu Bergelap: ADUN Merlimau ‘Terkejut’ Temui Keluarga Hidup Serba Kekurangan

Lima tahun hidup tanpa bekalan air dan hampir dua minggu terpaksa bergelap kerana ketiadaan elektrik.

Itu realiti yang dilalui sebuah keluarga India di kawasan DUN Merlimau, yang hanya diketahui ADUN kawasan berkenaan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh selepas dimaklumkan oleh jiran mereka.

Image from: Lima Tahun Tiada Air, Hampir Dua Minggu Bergelap: ADUN Merlimau ‘Terkejut’ Temui Keluarga Hidup Serba Kekurangan
Tangkap layar hantaran video dimuat naik Dr Akmal Saleh.

Menurut Dr Muhamad Akmal, beliau segera turun menziarahi keluarga itu malam tadi sebelum terkejut melihat keadaan yang mereka lalui.

Menerusi hantaran video di Facebook, beliau turut meluahkan rasa kesal kerana tidak mengetahui lebih awal terdapat penduduk di kawasannya yang berdepan keadaan sedemikian.

“Ketika rumah saya ada air, ada elektrik, ada makanan, rupanya ada keluarga di dalam kawasan saya yang lima tahun tiada air dan hampir dua minggu bergelap.

“Tidak langsung berada dalam pengetahuan saya sehingga semalam,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan klip video yang dimuat naik beliau, rumah berkenaan sebelum ini didiami seorang wanita India yang dikenalinya.

Bagaimanapun, wanita itu telah meninggal dunia dan anak-anaknya kini menetap di rumah tersebut dalam keadaan serba kekurangan.

Keadaan itu turut menyebabkan Dr Muhamad Akmal menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak mengetahui kesusahan yang dialami keluarga berkenaan.

“Terasa teruk sangat diri ini dan tidak layak langsung diri ini menjadi pemimpin.

“Maafkan diri saya yang hina. Tidak layak saya digelar pemimpin bila begini jadinya,” ujarnya.

Terus Usahakan Bekalan Air Dan Elektrik

Tidak mahu masalah itu terus berlarutan, Dr Muhamad Akmal segera meminta pihak berwajib membantu menyelesaikan isu bekalan air yang dihadapi keluarga terbabit.

Beliau pada masa sama mengambil keputusan menggunakan wang gajinya sendiri bagi menjelaskan bil elektrik supaya keluarga berkenaan tidak lagi terpaksa bergelap.

Image from: Lima Tahun Tiada Air, Hampir Dua Minggu Bergelap: ADUN Merlimau ‘Terkejut’ Temui Keluarga Hidup Serba Kekurangan
Tangkap layar hantaran video dimuat naik Dr Akmal Saleh.

Selain itu, beliau meminta salah seorang ahli keluarga tersebut supaya tidak segan untuk memaklumkan kepadanya sekiranya mereka memerlukan bantuan makanan dan pakaian.

Tegur Ahli Keluarga Supaya Bangkit

Dalam kunjungan sama, Dr Muhamad Akmal turut menegur seorang lelaki muda dalam keluarga itu supaya mengambil tanggungjawab menjaga keluarganya.

Teguran itu dibuat selepas beliau dimaklumkan lelaki berkenaan sudah mendapat pekerjaan.

Walaupun nada tegurannya kedengaran tegas, Dr Muhamad Akmal jelas mahu lelaki terbabit memainkan peranan membantu keluarganya keluar daripada kehidupan serba kekurangan.

Bagi beliau, bantuan kepada keluarga berkenaan tidak seharusnya terhenti sekadar menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved