Lima warga asing ditahan kes tikam lelaki di Mahkota Cheras

21 Jul 2026 • 7:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lima warga asing ditahan kes tikam lelaki di Mahkota Cheras
Tangkap layar rakaman video tular memaparkan kes pembunuhan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.

KAJANG - Seramai lima lelaki warga asing diberkas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan maut dengan kesan tikaman di Bandar Mahkota Cheras, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa merupakan lelaki bukan warganegara berusia lingkungan 20-an yang bekerja di sekitar kawasan kejadian.

"Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menahan lima suspek warga asing berusia antara 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan.

"Seorang suspek telah ditahan semalam (Isnin) dan dibenarkan reman selama enam hari, manakala empat lagi suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Naazron berkata, saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tikaman di kawasan Bandar Mahkota Cheras selepas polis menerima laporan mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 8.40 pagi.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kajang mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat pendarahan pada bahagian abdomen berpunca daripada kecederaan tikaman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved