
PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mengambil langkah strategik memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi pengenalan Skim Lindung 24 Jam, sejajar dengan perubahan dinamik atau corak dalam pasaran pekerjaan tempatan.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang berkata, pengenalan skim berteraskan kemanusiaan itu didorong oleh hakikat bahawa risiko kemalangan tidak terhad di tempat kerja atau pada waktu bertugas sahaja.
Ujarnya, data Perkeso mencatatkan sebanyak 38,676 kes tuntutan kemalangan terpaksa ditolak antara 2015 hingga Mei 2026 berikutan kejadian tidak berpunca daripada bencana pekerjaan.
“Jurang perlindungan ini amat ketara memandangkan lebih 96 peratus golongan berpendapatan rendah (B40) tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans persendirian.
“Skim ini diwujudkan bagi memastikan ekonomi keluarga tidak terjejas teruk apabila pencari nafkah hilang keupayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nilai tambah utama Lindung 24 Jam bertindak sebagai pelengkap kepada Skim Bencana Pekerjaan sedia ada di bawah Akta 4 dengan memperluas liputan merangkumi kemalangan di rumah, aktiviti peribadi, hujung minggu dan cuti umum.
Skim ini menyediakan faedah jangka panjang merangkumi rawatan perubatan percuma, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) dan Kekal, Elaun Layanan Sentiasa RM500 sebulan, serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) untuk waris.
Inisiatif Lindung 24 Jam ini secara langsung membawa transformasi besar kepada konsep keselamatan sosial negara, di mana impaknya tidak lagi terhenti di pintu pejabat atau kilang, sebaliknya meliputi setiap saat kehidupan harian seorang pekerja.
Peranan menyeluruh ini terbukti penting dalam mencegah sesebuah keluarga terjerumus ke dalam kancah kemiskinan tegar secara drastik apabila pencari nafkah utama ditimpa musibah sewaktu berada di luar waktu tugas.
Mengulas mengenai perkembangan tuntutan terkini, Edmund berkata, jumlah permohonan faedah menerusi Lindung 24 Jam melonjak ketara kepada 2,135 kes pada Julai lalu berbanding 616 kes pada bulan sebelumnya.
“Bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Julai, Perkeso meluluskan penyaluran faedah melibatkan lebih 90 peratus kes tuntutan dalam tempoh keseluruhan proses yang mengambil masa kurang daripada lima hari, dengan jumlah bayaran mencecah RM3.45 juta kepada 2,508 penerima.
“Faedah yang dibayar merangkumi Bayaran Ganti Belanja (BGB) Perubatan, FHUS, FPM, FOT, Alatan Pemulihan dan Implan serta lain-lain.
“Alatan pemulihan dan implan merekodkan bayaran faedah tertinggi iaitu lebih RM2.5 juta. Selain itu, bayaran lebih RM842,564 disalurkan melalui FHUS sebagai gantian pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup pencarum dan keluarga sepanjang tempoh cuti sakit,” katanya.
Secara kumulatif bagi tempoh dua bulan pertama pelaksanaannya dari 1 Jun hingga 31 Julai lalu, sebanyak 2,751 kes tuntutan dikemukakan dengan purata 45 kes sehari.
Jumlah keseluruhan bayaran faedah bagi tempoh dua bulan berkenaan mencecah RM4.69 juta, termasuk kira-kira RM3.69 juta bagi kos alat pemulihan dan implan serta lebih RM909,800 bagi FHUS, tidak termasuk bayaran faedah jangka panjang kepada waris yang menjangkau nilai keseluruhan lebih RM2 juta.
Penyaluran faedah bernilai jutaan ringgit dalam tempoh singkat ini mencerminkan sumbangan konkrit Perkeso dalam menyerap kejutan ekonomi secara serta-merta kepada ratusan keluarga yang terjejas.
Tambah Edmund, caruman ini bertindak secara solidariti di mana individu yang sihat membantu membiayai pekerja lain yang ditimpa musibah.
“Kita mahu perbetulkan anggapan bahawa caruman ini ‘hangus’. Bahasa mudahnya, yang sihat jaga yang sakit, yang hidup jaga waris-waris pencarum yang telah meninggal dunia.
“Skim ini juga tidak bertindih atau bertujuan menggantikan insurans swasta, sebaliknya pencarum tetap layak menuntut faedah Perkeso secara serentak walaupun mempunyai kad perubatan persendirian,” tambahnya. – UTUSAN
The post Skim Lindung 24 Jam perkukuh perlindungan pekerja appeared first on Utusan Malaysia.






