
KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Kadar caruman Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), akan dinaikkan secara berperingkat kepada 1.25 peratus pada tahun keenam, sekali gus membolehkan faedah penggantian pendapatan ditingkatkan daripada 48 peratus ketika ini kepada 80 peratus.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) PERKESO Edmund Cheong Peck Huang berkata kadar caruman semasa sebanyak 0.75 peratus, merupakan kadar terendah yang boleh dilaksanakan pada peringkat awal, selepas kerajaan mengarahkan PERKESO memperkenalkan skim itu secara berperingkat.
Beliau berkata kenaikan kadar caruman berkenaan mengambil kira keperluan, memastikan manfaat perlindungan kekal relevan, termasuk faedah perubatan dan pemulihan yang disediakan PERKESO.
“Sebab itulah kita guna 0.75 peratus. Kita akan meningkat untuk pergi semula kepada 1.25 peratus pada tahun keenam dan faedah pun akan bertambah.
"Bermaksud sekarang ni 48 peratus, tahun keenam ia akan jadi 80 peratus penggantian pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Literasi Media Bersama-sama Wartawan dan Pengarang, serta Pengumuman Anugerah Media PERKESO iLINDUNGu 2026 di sini, hari ini.
Cheong berkata kadar caruman asal sebanyak 1.25 peratus ditetapkan dengan mengambil kira struktur faedah PERKESO, yang lazimnya menyediakan penggantian pendapatan antara 80 dan 90 peratus daripada pendapatan seseorang.
Beliau berkata sebagai contoh, individu bergaji RM6,000 mungkin menerima bayaran bulanan kira-kira RM4,800, sekiranya mengalami hilang upaya kekal langsung.
Bagaimanapun, Cheong berkata keputusan melaksanakan skim secara berperingkat, dibuat selepas perkara itu dibincangkan pada peringkat kementerian dan Kabinet, berdasarkan kajian yang mendapati kadar semasa sesuai sebagai kadar permulaan.
Beliau berkata Lindung 24 Jam bukan diperkenalkan secara mengejut, kerana cadangan skim itu telah melalui proses perbincangan sejak sekitar 2017, termasuk pada peringkat Kabinet dan kementerian berkaitan, manakala majikan turut dimaklumkan lebih awal mengenai pelaksanaannya.
Mengenai pengasingan caruman dalam slip gaji, Cheong berkata langkah itu bertujuan memastikan ketelusan serta membantu pekerja memahami perlindungan yang diterima menerusi setiap skim PERKESO, termasuk Skim Bencana Pekerjaan dan Keilatan, Skim Insurans Pekerjaan serta Lindung 24 Jam.
Dalam pada itu, Cheong menasihatkan pekerja supaya menilai tahap perlindungan sedia ada, sebelum membuat keputusan untuk keluar daripada Lindung 24 Jam dan tidak hanya bergantung kepada kad perubatan atau insurans kemalangan diri (PA).
Beliau berkata perlindungan setiap polisi berbeza dan tidak semestinya menyeluruh, manakala Lindung 24 Jam boleh menyediakan sokongan pendapatan jangka panjang kepada pekerja atau tanggungan, sekiranya berlaku kecederaan serius.
“Contohnya kalau kita bergaji RM2,000 dan PA kita hanya RM10,000, ia akan bertahan hanya lima bulan. Tapi dengan Lindung 24 Jam dan sekiranya anda mempunyai kecederaan yang serius, ia boleh menanggung anda sehingga seumur hidup. Itu perlu dikaji dan diambil tahu. Jadi, pilihlah dengan betul,” katanya.






