Liputan telekomunikasi Papar capai 99.61 peratus

LocalTechnology
14 Sep 2026 • 4:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Liputan telekomunikasi Papar capai 99.61 peratus

PAPAR: Liputan telekomunikasi di kawasan Parlimen Papar kini mencapai 99.61 peratus, sekali gus menunjukkan tahap capaian rangkaian komunikasi yang amat memuaskan hasil usaha berterusan kerajaan memperluas infrastruktur digital.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata hanya kira-kira 0.39 peratus lagi liputan perlu dilengkapkan, terutamanya di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu yang masih mempunyai kekurangan dari segi capaian rangkaian.

Katanya, pencapaian itu adalah hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkukuh infrastruktur komunikasi di kawasan berkenaan.

“Kalau kita semak data terkini, dari segi liputan rangkaian komunikasi yang ada di Papar telah pun mencecah 99.61 peratus iaitu kurang 0.39 peratus saja lagi untuk kita lengkapkan dari segi liputannya yang saya fikir berlaku di DUN Limbahau.

“Justeru, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MCMC kerana membantu kami di Papar menyediakan infrastruktur komunikasi yang saya fikir berada pada tahap amat memuaskan sekarang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Komuniti Internet Selamat, di sini, Sabtu.

Beliau mengulas perkembangan liputan telekomunikasi di kawasan Parlimen Papar yang merangkumi DUN Limbahau, Pantai Manis dan Kawang.

Hadir sama Adun Limbahau, Datuk Juil Nuatim; Adun Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra dan Pegawai Daerah Papar, Mohamad Mohd Ali.

Armizan, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), berkata usaha penambahbaikan turut dilaksanakan menerusi program Jalinan Digital Negara (Jendela), termasuk pelaksanaan Jendela Fasa 1 di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 10 menara telekomunikasi menerusi Jendela Fasa 1 di Papar sudah siap dibina, manakala satu lagi menara sedang dalam pembinaan di Kampung Bundusan.

“Untuk Jendela Fasa 2 pula, difahamkan ada tambahan enam kemudahan telekomunikasi, iaitu satu menara telekomunikasi dan lima lagi adalah pencawang WiFi.

“Insya-Allah, saya fikir Jendela Fasa 1 dan Fasa 2 ini akan meningkatkan lagi pencapaian kita dalam melengkapkan liputan rangkaian telekomunikasi di kawasan Papar,” katanya.

Armizan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan, MCMC serta pihak berkaitan atas usaha berterusan memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan kawasan yang mempunyai cabaran capaian turut mendapat akses komunikasi yang lebih baik.

Sehubungan itu, katanya, peningkatan liputan berkenaan penting bukan saja untuk memudahkan komunikasi harian penduduk, malah menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved