
SERDANG: Persiapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) sudah mencapai kira-kira 80 peratus.
Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerja-kerja menyiapkan infrastruktur pameran kini berada pada peringkat akhir sebelum program itu membuka tirai pada 28 Ogos ini.
Menurutnya, baki persiapan hanya melibatkan kemasukan barangan dan kelengkapan pameran oleh pempamer sebelum keseluruhan tapak siap sepenuhnya menjelang 27 Ogos.
“Hari ini tuan-tuan puan-puan semua tengok, lebih kurang 80 peratus infrastrukturnya sudah siap, tinggal nak letak barang-barang itu.
“Insya-Allah pada 27 Ogos datang, semuanya sudah siap dan 28 Ogos kita akan lihat bagaimana tempat pameran itu begitu cantik dan hebat pada tahun ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas meninjau persiapan MAHA 2026 di MAEPS, di sini hari ini.
Mohamad Sabu berkata, penganjuran kali ini dijangka menarik lebih empat juta pengunjung kerana turut berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.
Katanya, sambutan malam kemerdekaan di MAHA turut dimeriahkan dengan pertunjukan dron dan bunga api.
Dalam pada itu, beliau berkata, MAHA pada kali ini menyasarkan 2,000 pempamer dengan jangkaan jualan tunai sebanyak RM58 juta dan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion.
Beliau berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berikutan program Road to MAHA sudah mencatat potensi pelaburan RM2 bilion.
“Satu agakan yang tinggi tapi saya yakin boleh capai kerana Datuk KSU baru melaporkan dalam mesyuarat kami tadi, dalam ‘Road to MAHA’ kita telah capai RM2 bilion. Satu kejayaan luar biasalah pada tahun ini,” katanya.
Katanya, penganjuran kali ini juga memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian selaras dengan tema Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan.
“Pertanian secara tradisi kita cuba ubah kepada pemodenan. Kalau tidak kesemuanya, sebahagian besar pertanian di Malaysia ini kita harap berubah kepada pemodenan,” katanya
Beliau berkata, MAHA 2026 turut menyasarkan kehadiran kira-kira 800,000 belia menerusi pelbagai program yang memberi tumpuan kepada automasi dan pemodenan sektor pertanian.
Menurut beliau, penganjuran kali ini dirangka dalam suasana lebih santai dan informatif bagi menarik minat golongan muda untuk melihat sendiri peluang baharu dalam bidang pertanian moden.
“Kebanyakan program automasi ini adalah ditujukan kepada belia kerana sudah banyak belia ceburkan diri secara terus lepas daripada TVET atau lepas daripada universiti, ada yang terus cebur dalam bidang pertanian dengan pemodenan yang berlaku sekarang,” katanya. – UTUSAN
The post Persiapan MAHA 2026 capai 80 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






