Liputan U Mobile Ultra5G Diperluaskan Ke Bangi, Putrajaya Dan PJ New Town

LocalTechnology
20 Nov 2025 • 3:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

U Mobile baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka telah melanjutkan liputan Ultra5G mereka ke tiga koridor bandar baru, yang terdiri daripada Bangi, Putrajaya dan PJ New Town.

Ini bermakna bahawa para pelanggan U Mobile yang berada di bandar-bandar ini boleh menikmati rangkaian 5G yang lebih pantas dan berlatensi rendah dan memanfaatkan rangkaian ini untuk panggilan suara dan penstriman video yang lebih berkualiti tinggi, muat-turun kemaskini perisian yang lebih pantas dan menikmati perkhidmatan internet yang lebih stabil walaupun dalam persekitaran dengan orang ramai.

image is not available

Bermula dengan Bangi, ULTRA5G kini meliputi Universiti Tenaga Nasional sehingga Bandar Baru Bangi, menawarkan perkhidmatan kepada komuniti akademik dan institusi pendidikan dan dijangka akan hadir dengan liputan kampus secara penuh bermula Disember 2025. Ini termasuklah kawasan perumahan, komersial dan perindustrian di bandar Bangi.

U Mobile ULTRA5G kini juga tersedia di seluruh Putrajaya, meliputi sebahagian besar kawasan dan zon pentadbiran utama. Jangkauan liputan luar baharu ini merangkumi kawasan sekitar mercu tanda terkenal seperti Kompleks Seri Perdana dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

image is not available

Di samping itu, ULTRA5G juga meliputi ruang awam seperti Taman Botani Putrajaya, Taman Wetland Putrajaya, Tasik Putrajaya, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Seri Wawasan serta kawasan komersial dan kediaman di semua kawasan Putrajaya.

image is not available

Untuk kawasan PJ New Town pula, liputan ULTRA5G hadir dari Kampung Sungai Way ke PJ New Town, meliputi Seksyen 51A, Jalan 222, PJ New Town dan Seksyen 52 (sekitar LRT Taman Jaya).

image is not available

Dalam pada itu, liputan U Mobile ULTRA5G juga sudahpun beroperasi di 30 buah bangunan di seluruh Malaysia, dan akan bertambah dengan lebih banyak lagi sepanjang tahun ini dan tahun hadapan apabila rangkaian 5G U Mobile diperluaskan lagi.