LRT 3 Dalam Fasa Akhir Ujian, Dijangka Mula Beroperasi Hujung Tahun

LocalPolitics
18 Nov 2025 • 10:04 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitarnya disasarkan untuk mula beroperasi menjelang akhir tahun ini, iaitu pada 31 Disember 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan sasaran ini di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya komited untuk memastikan projek ini, yang menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya sehingga ke Johan Setia di Klang, dapat dibuka kepada orang awam sebelum tahun ini melabuhkan tirainya.

image is not available

LRT3 merupakan laluan kritikal sepanjang 37.8 kilometer yang dijangka memberi manfaat besar kepada lebih dua juta penduduk di kawasan terlibat, khususnya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Walaupun projek ini sebelum ini pernah mengalami beberapa penangguhan, Menteri Pengangkutan menegaskan bahawa kemajuan projek kini telah mencapai tahap kesiapan yang sangat tinggi.

Fokus kini adalah untuk memastikan semua ujian yang diperlukan, termasuk ujian pematuhan dan keselamatan, selesai sepenuhnya. Pihak pengendali, Rapid Rail Sdn Bhd, dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama, sedang giat menjalankan ujian bagi memastikan perkhidmatan ini selamat dan mematuhi standard operasi yang ditetapkan sebelum dibuka kepada orang ramai.

image is not available

Loke berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebagai persediaan pengoperasian LRT3, Rapid Rail Sdn Bhd telah melantik 956 kakitangan setakat ini, merangkumi pasukan operasi, teknikal, kejuruteraan dan sokongan.

Sumber : Berita RTM

Sumber: Parlimen Sumber: lowyat.net

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.