U Mobile, ZTE perkenal rumusan baharu komunikasi 5G di kawasan pedalaman, ujian di Sebuyau dan Sipitang berjaya

LocalTechnology
22 Sep 2026 • 4:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

U Mobile, ZTE perkenal rumusan baharu komunikasi 5G di kawasan pedalaman, ujian di Sebuyau dan Sipitang berjaya Image from: U Mobile, ZTE perkenal rumusan baharu komunikasi 5G di kawasan pedalaman, ujian di Sebuyau dan Sipitang berjaya hamden22/09/2026 - 16:22 Ujian tapak rangkaian 5G mudah alih U Mobile, ZTE di SK Mentu Sebuyau, Sarawak Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Sept - Kawasan terpencil di pedalaman bakal menikmati komunikasi 5G tidak lama lagi jika kejayaan U Mobile dan ZTE Corporation (ZTE) dalam ujian terbaharunya diambil kira.

 

U Mobile dan ZTE berjaya melaksanakan ujian projek bukti konsep (POC) tapak rangkaian 5G mudah alih yang beroperasi sepenuhnya di luar grid dan dikuasakan 100% tenaga solar, sekali gus membuka potensi peluasan sambungan ke kawasan terpencil dengan lebih pantas.

 

Rumusan komunikasi berkenaan boleh dipasang dan diaktifkan sepenuhnya dalam tempoh hanya tiga hari, berbanding pembangunan menara konvensional di lokasi luar bandar yang mencabar yang boleh mengambil masa hampir setahun.

 

U Mobile berkata, tapak ujian berkenaan menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan disambungkan terus ke rangkaian terasnya melalui sambungan satelit, membolehkannya beroperasi tanpa bergantung kepada grid elektrik nasional atau infrastruktur penghantaran darat seperti gentian.

 

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan rumusan komunikasi berkenaan digunakan di lokasi yang sukar atau mengambil masa lama untuk dibangunkan menggunakan infrastruktur rangkaian konvensional.

 

Diuji di Sebuyau dan Sipitang

POC tersebut diuji di dua lokasi luar bandar di Malaysia Timur, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mentu di Sebuyau, Sarawak dan Balai Kebudayaan Iburu di Sipitang, Sabah.

 

Di kedua-dua lokasi, struktur tiang ringan setinggi 12 meter digunakan bagi menggantikan menara telekomunikasi konvensional.

 

Tapak berkenaan dilengkapi panel solar berkecekapan tinggi serta sistem bateri sandaran yang mampu beroperasi sehingga 52 jam tanpa cahaya matahari, bergantung kepada konfigurasi.

 

U Mobile berkata rumusan tersebut menyokong perkhidmatan 4G dan 5G serta mencapai kelajuan muat turun puncak sehingga 134 Mbps ketika ujian secara langsung.

 

Ketua Pegawai Teknologi U Mobile, Woon Ooi Yuen berkata, sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu Malaysia, syarikat mempunyai peluang untuk meneroka kaedah lebih tangkas bagi memperluas rangkaian, khususnya di kawasan yang sukar dibangunkan menggunakan pendekatan konvensional.

 

“Bukti konsep ini menunjukkan bagaimana tapak luar grid yang menggunakan 100% tenaga hijau boleh digunakan dengan pantas, sambil terus menyediakan sambungan 4G dan 5G yang boleh dipercayai.

 

“Bersama rakan teknologi seperti ZTE, kami akan terus meneroka inovasi praktikal yang boleh mempercepatkan peluasan rangkaian ULTRA5G kami, membantu merapatkan jurang digital serta memperluaskan manfaat sambungan kepada lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.

 

Umobilezte
Ujian di Balai Kebudayaan Iburu Sipitang, Sabah

 

Menangani cabaran infrastruktur

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran ZTE Malaysia, Tey Khang Lian berkata kerjasama dengan U Mobile menggabungkan tenaga solar, penyimpanan bateri dan sambungan satelit dalam satu penyelesaian rangkaian luar bandar mudah alih.

 

Katanya, pendekatan tersebut bertujuan menangani cabaran infrastruktur utama di kawasan terpencil, selain menyokong usaha menjadikan sambungan 4G dan 5G lebih mudah diakses.

 

“Projek rintis bukti konsep luar bandar ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk menjadikan sambungan 4G dan 5G lebih mudah diakses serta menyokong aspirasi keterangkuman digital Malaysia,” katanya.

 

Selain meningkatkan sambungan di kawasan luar bandar, penyelesaian mudah alih itu turut berpotensi digunakan dalam operasi tindak balas kecemasan dan bencana.

 

Keupayaan untuk digunakan dengan pantas serta beroperasi tanpa bergantung kepada bekalan kuasa grid dan infrastruktur penghantaran darat boleh membantu memulihkan sambungan di kawasan yang mengalami gangguan infrastruktur.

 

U Mobile dan ZTE berkata POC tersebut mencerminkan komitmen bersama untuk meneroka model pembangunan rangkaian yang lebih mampan dan tangkas, sekali gus membantu merapatkan jurang digital serta membolehkan lebih banyak komuniti menyertai ekonomi digital. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved