
KITA hidup dalam dunia yang semakin mudah menghubungkan manusia dengan pelbagai perkara yang ingin dilihat, didengar dan diterokai.
Dengan sebuah telefon pintar, hiburan, pendidikan, pekerjaan serta jaringan sosial boleh dicapai dalam beberapa saat. Namun, di sebalik kemudahan itu wujud sisi gelap dunia digital yang jarang dibincangkan secara terbuka.
Antara yang semakin mendapat perhatian ialah kewujudan platform dan ruang maya yang menyediakan kandungan seksual secara mudah, peribadi serta tanpa sempadan.
Realiti ini bukan sesuatu yang asing kepada generasi hari ini. Persoalan lebih besar ialah mampukah kita menolak tarikan tersebut apabila akses hanya memerlukan satu sentuhan pada skrin?
Kemudahan tersebut bukan satu-satunya faktor yang menarik pengguna. Sifat ingin tahu manusia turut memainkan peranan.
Sesuatu yang sensitif, terlarang atau dianggap tabu boleh menjadi lebih menggoda apabila mudah dicapai tetapi jarang dibincangkan secara terbuka. Akses yang bersifat senyap pula menjadikan benteng sosial semakin nipis.
Di sinilah berlaku pertembungan antara fitrah manusia, teknologi dan pilihan diri. Teknologi menyediakan ruang, tetapi manusia menentukan tindakan.
Masalah tidak semestinya bermula dengan kekerapan. Rasa ingin tahu yang kecil boleh berkembang menjadi rutin sebelum berubah menjadi kebiasaan.
Kandungan yang pada awalnya dianggap melampau juga boleh kelihatan biasa apabila ditonton berulang kali. Proses ini dikenali sebagai penormalan.
Dalam usaha memperkukuh literasi digital, masyarakat lazimnya dididik mengenal pasti maklumat palsu, menjaga privasi, melindungi keselamatan siber dan mengelakkan penipuan. Namun, pengetahuan sahaja belum memadai untuk berdepan sisi gelap dunia maya.
Seseorang mungkin mengetahui sesuatu kandungan memudaratkan dirinya tetapi masih memilih untuk melihatnya. Ada yang memahami risiko ketagihan, namun terus mengulanginya.
Justeru, literasi digital perlu disertai daya tahan digital, iaitu kemampuan mengawal dorongan, membuat pertimbangan dan berhenti sebelum sesuatu tingkah laku menjadi kebiasaan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 32, mengingatkan manusia supaya tidak menghampiri zina kerana perbuatan tersebut membawa kerosakan.
Dalam persekitaran hari ini, peringatan itu semakin signifikan kerana kandungan seksual boleh hadir melalui satu sentuhan sahaja.
Generasi yang ingin dibentuk bukan sekadar tahu perkara yang salah tetapi mampu berkata ‘tidak’ apabila berdepan tarikan yang boleh membawa kepada kemungkaran.
Keupayaan tersebut memerlukan kawalan diri, pemikiran kritis, kesedaran terhadap pengaruh teknologi serta keberanian meninggalkan sesuatu yang tidak membawa kebaikan.
Semakin lama seseorang berada dalam sesuatu platform, semakin besar peluang untuk menjana interaksi, langganan dan pengiklanan.
Oleh itu, keluarga, institusi pendidikan serta masyarakat perlu menyediakan ruang perbincangan yang matang dan berterusan.
Sisi gelap dunia digital tidak akan hilang hanya kerana kita memilih untuk tidak membincangkannya. Sebaliknya, kita perlu membina masyarakat yang mampu mengenali tarikannya, menilai kandungan secara kritis dan mengawal pilihan sendiri.
Cabaran dunia digital hari ini bukan sekadar tentang apa yang mampu dicapai dengan satu klik tetapi kemampuan untuk menahan diri daripada melakukannya. Ketika tiada siapa melihat, pilihan kita tetap mencerminkan nilai dan kekuatan diri. – UTUSAN
DR. HAYATI ABD. RAHMAN
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik
Pejabat Komunikasi Strategik,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
The post Literasi digital perlu disertai dengan daya tahan digital appeared first on Utusan Malaysia.




