Paydibs lancar pembiayaan peniaga, bantu PKS akses modal kerja

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 4:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Paydibs lancar pembiayaan peniaga, bantu PKS akses modal kerja

PETALING JAYA: Paydibs Sdn Bhd (Paydibs), penyedia teknologi kewangan (fintech) dan pembayaran digital tempatan, melancarkan kemudahan pembiayaan peniaga dengan Anchor Capital Sdn Bhd sebagai rakan pembiayaan pertamanya.

Anchor Capital merupakan syarikat yang dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kemudahan baharu itu membolehkan peniaga yang layak mendapatkan modal kerja menerusi proses sepenuhnya secara digital, sekali gus memperluas peranan Paydibs daripada sekadar penyedia penerimaan pembayaran.

Melalui kemudahan berkenaan, bayaran balik pembiayaan akan ditolak secara automatik daripada penyelesaian pembayaran mingguan peniaga dan diselaraskan berdasarkan prestasi transaksi.

Pendekatan itu membolehkan jumlah bayaran balik meningkat ketika prestasi jualan lebih kukuh dan berkurangan apabila jualan merosot, sekali gus membantu peniaga mengurus aliran tunai dengan lebih fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif Paydibs, Tee Kean Kang berkata, pembayaran merupakan permulaan hubungan syarikat dengan peniaga dan bukan pengakhirannya.

“Pembiayaan peniaga adalah lanjutan semula jadi kepada misi kami untuk melangkaui transaksi.

“Dengan memanfaatkan maklumat transaksi serta hubungan yang dibina bersama peniaga, kami dapat membantu menjadikan akses kepada modal kerja lebih relevan, mudah dan lancar bagi perniagaan yang layak,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pelancaran itu merupakan kerjasama pertama Paydibs dengan penyedia pembiayaan dan langkah penting dalam memperluas penyelesaian kewangan yang ditawarkan menerusi ekosistem peniaganya.

“Penyelesaian yang ditawarkan Paydibs kini turut merangkumi terminal pembayaran NEO untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain kerjasama dengan Great Eastern General Insurance bagi menyediakan perlindungan perniagaan.

“Penambahan pembiayaan peniaga mengukuhkan lagi aspirasi Paydibs untuk menjadi rakan penyelesaian kewangan yang lebih lengkap kepada PKS,” katanya.

Dalam pada itu, akses kepada modal kerja kekal menjadi keutamaan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurut Indeks Sentimen PKS SME Bank bagi separuh kedua 2025, sebanyak 81 peratus responden merancang mendapatkan pembiayaan bagi tujuan modal kerja atau pengembangan perniagaan.

Bagaimanapun, akses kepada pembiayaan masih boleh melibatkan proses yang panjang serta keperluan pentadbiran yang tinggi.

Tinjauan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pula mendapati 61.1 peratus perniagaan menyatakan proses yang rumit dan panjang sebagai antara kesukaran utama mendapatkan pembiayaan kerajaan.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana, akses pantas kepada modal kerja penting bagi memenuhi pelbagai keperluan, termasuk membuat persediaan menghadapi musim puncak, memenuhi tempahan lebih besar, membeli peralatan, mengambil pekerja serta menampung perbelanjaan operasi harian. – UTUSAN

The post Paydibs lancar pembiayaan peniaga, bantu PKS akses modal kerja appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved