LKIM bawa keindahan perkampungan nelayan di MAHA 2026

30 Aug 2026 • 7:17 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: LKIM bawa keindahan perkampungan nelayan di MAHA 2026

SERDANG: Suasana perkampungan nelayan ‘Ala Dolu-Dolu’ kini dapat dirasai di tengah-tengah kemeriahan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerusi Kampung Nelayan Meranti yang mengetengahkan warisan, budaya dan kehidupan komuniti nelayan kepada pengunjung.

Tarikan baharu yang terletak di D’Laman Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini memberi peluang kepada pengunjung menyelami kehidupan masyarakat nelayan menerusi pelbagai aktiviti interaktif.

Antara aktiviti yang diketengahkan termasuk demonstrasi pengukiran bot tradisional, kemahiran menyirat jala dan permainan sukan rakyat yang menggambarkan kehidupan serta tradisi komuniti nelayan.

Pada sebelah malam, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan wayang pacak yang menjadi antara pengisian kebudayaan di Kampung Nelayan Meranti.

Kampung Nelayan Meranti dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, sempena penganjuran MAHA 2026 di MAEPS, semalam.

Ketua Pengarah LKIM, Datuk Dr. Abdul Salim Tajudin berkata, pengunjung yang datang ke sini dapat merasai sendiri suasana kehidupan nelayan menerusi Kampung Nelayan ini. Kita menyediakan rumah nelayan lengkap dengan pelbagai peralatan tradisional yang pernah digunakan dalam kehidupan seharian mereka.

“Antaranya termasuk televisyen dan radio klasik, selain bekas makanan serta barangan keperluan harian yang digunakan suatu ketika dahulu.Saya yakin generasi muda hari ini mungkin tidak pernah melihat peralatan seperti ini secara dekat. 

“Jadi, apabila mereka datang ke sini, mereka berpeluang melihat sendiri secara nyata bagaimana peralatan tersebut digunakan dalam kehidupan masyarakat nelayan pada masa dahulu,” katanya kepada Mingguan Malaysia

Tambah Abdul Salim, jumlah pengunjung dijangka melebihi 10,000 orang sehari, manakala pada hujung minggu angka itu boleh meningkat kepada antara 50,000 hingga 60,000 orang.

“Jika mengambil kira pergerakan pengunjung yang keluar masuk, jumlah keseluruhan mungkin mencecah 100,000 orang. Itu sasaran kita,” katanya.

Pengenalan tarikan berkenaan melengkapkan keseluruhan ekosistem D’Laman LKIM yang mengetengahkan konsep ‘Tiga Tarikan, Satu Pengalaman’.

Selain Kampung Nelayan Meranti, dua lagi tarikan utama yang ditawarkan ialah Tropical Garden Café (TGC) dan Floating Market.

TGC bukan sahaja menyediakan sajian berasaskan hasil laut untuk dinikmati pengunjung malah ia juga menyediakan gerai-gerai jualan oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Persatuan Nelayan Negeri (PNN), sekali gus memberi peluang kepada mereka merasai pelbagai hidangan serta membeli hasil komuniti nelayan.

Sementara itu, Floating Market menawarkan pengalaman jualan hasil laut secara terus dari atas sampan, sekali gus memberikan kelainan kepada pengunjung sepanjang MAHA 2026.

Konsep ‘Tiga Tarikan, Satu Pengalaman’ itu menggabungkan elemen warisan, makanan dan aktiviti ekonomi komuniti nelayan dalam satu lokasi.

D’Laman LKIM bukan sekadar menjadi ruang pameran, malah berperanan sebagai destinasi agropelancongan keluarga yang mengetengahkan keunikan sektor perikanan dan kehidupan masyarakat nelayan.

Dalam masa sama, lokasi berkenaan menjadi platform bagi memperkasa sosioekonomi komuniti nelayan dengan memberi ruang kepada persatuan nelayan serta pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka.

Penglibatan secara langsung persatuan nelayan dan pengusaha tempatan turut membolehkan pengunjung mengenali produk, hasil laut dan kebudayaan komuniti nelayan dengan lebih dekat.

Pendekatan itu memberi nilai tambah kepada MAHA 2026 apabila pengunjung bukan sahaja melihat hasil dan produk sektor perikanan, malah dapat merasai sendiri pengalaman yang berkait dengan kehidupan komuniti nelayan.

Kampung Nelayan Meranti dibuka sepanjang 10 hari penganjuran MAHA 2026 dan dijangka menjadi antara tarikan utama D’Laman LKIM kepada pengunjung yang mahu menikmati pengalaman berbeza berasaskan warisan serta budaya masyarakat nelayan.-UTUSAN

The post LKIM bawa keindahan perkampungan nelayan di MAHA 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved