
KUALA LUMPUR - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pembangun aplikasi navigasi TuJu, Prosignal Consortium perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah dihadapi pengguna aplikasi berkenaan, aspek teknikal dan langkah penambahbaikan yang dilaksanakan.
Jurucakap kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak berkenaan perlu menangani isu yang dibangkitkan oleh pengguna termasuk punca masalah, aspek teknikal yang terlibat, prestasi semasa aplikasi itu dan langkah yang diambil bagi mengatasinya.
Penjelasan tersebut, kata Menteri Komunikasi itu adalah penting bagi memastikan isu yang dibangkitkan dapat ditangani secara menyeluruh selain meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi berkenaan.
"Penjelasan oleh (LLM dan Prosignal) itu penting bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna dapat ditangani secara menyeluruh, meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi TuJu serta memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap penggunaan aplikasi navigasi tempatan," katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, berkata LLM mengakui masalah yang dihadapi pengguna dan mengesahkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menambah baik aplikasi berkenaan.
TuJu dibangunkan oleh Prosignal Consortium menerusi memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022.
Aplikasi itu dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 26 November tahun lepas.
Dalam pada itu, Fahmi menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada yang dibangunkan syarikat tempatan mahupun luar negara.
"Yang penting, tidak menggunakan Waze atas aspek-aspek keselamatan yang telah dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Rabu lepas, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze, bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel. - 23 Oktober, 2026
The post LLM, Prosignal Consortium diminta perjelas masalah pengguna TuJu : Fahmi appeared first on Scoop.





