PETRONAS Carigali teroka medan gas di Thailand menerusi perjanjian selama 35 tahun

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 3:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PETRONAS Carigali teroka medan gas di Thailand menerusi perjanjian selama 35 tahun Image from: PETRONAS Carigali teroka medan gas di Thailand menerusi perjanjian selama 35 tahun amree14/09/2026 - 15:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 SeptPETRONAS Carigali Sdn Bhd memperkukuh bekalan gas asli melalui kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).

 

Langkah kerjasama tersebut melibatkan penerokaan medan gas Blok A-18-01, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan sumber baharu selepas PSC yang sedia ada akan berakhir menjelang April 2029.

 

PSC terkini itu turut menggabungkan dengan kawasan eksplorasi bersebelahan yang ada potensi sumber tambahan, serta menyediakan platform bersepadu untuk mengekalkan pembangunan jangka panjang.

 

PC JDA Limited, anak syarikat PETRONAS Carigali, bersama PTTEP JDX Thailand Ltd Co dan PTTEP JDX Thailand (JDA) Limited menerima kelulusan kerajaan Malaysia dan Thailand bagi PSC baharu tersebut.

 

"Kedua-dua pihak turut memeterai perjanjian jualan gas (GSA) bersama PETRONAS dan PTT Public Co Ltd bagi menyokong kesinambungan bekalan gas dari blok itu kepada dua negara," katanya dalam kenyataan.

 

Majlis pertukaran dokumen pada 14 September 2026 menandakan kerjasama antara Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA), PC JDA dan PTTEP JDX dalam membentuk kerangka kontrak baharu blok A-18-01.

 

Petronas_DagangNews2026

 

PSC baharu itu mempunyai tempoh selama 35 tahun bermula 1 Januari 2026, meliputi kawasan sedia ada serta kawasan baharu yang akan memberikan peluang untuk mereka meneroka potensi sumber tambahan.

 

Pengarah PC JDA, Ainoor Abizzurin Abdullah berkata, kelulusan PSC baharu itu membuka pembangunan seterusnya dan mencerminkan komitmen berterusan memaksimumkan nilai melalui sumber dan operasi.

 

"MTJDA meliputi 7,250 kilometer persegi merangkumi Blok A-18-01 dan B-17-01 yang secara keseluruhan kapasiti pengeluaran gas asli kira-kira 700 juta kaki padu piawai sehari (mmscfd)," kata beliau.

 

Kapasiti pengeluaran itu diagihkan secara sama rata kepada Malaysia dan Thailand, menjadikan kawasan pembangunan bersama tersebut penting dalam menyokong keperluan tenaga kedua-dua negara.

 

Blok A-18-01 meliputi medan gas Cakerawala, Bumi, Suriya, Bulan, South Bulan, Senja, East Bumi, Samudra dan Wira, manakala Blok B-17-01 merangkumi Muda, Tapi, Tanjung, Amarit, Jengka, Melati dan Andalas.

 

PETRONAS Carigali berkata, PSC baharu itu mengukuhkan komitmennya untuk terus melabur dalam aset strategik dan mengejar pertumbuhan mampan, selain menyokong keselamatan tenaga rantau ASEAN. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved