Loji hidrogen hijau bernilai RM1 bilion dengan kapasiti 200MW mula dibina pada awal 2027 di Paka, Terengganu

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 11:55 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Loji hidrogen hijau bernilai RM1 bilion dengan kapasiti 200MW mula dibina pada awal 2027 di Paka, Terengganu Image from: Loji hidrogen hijau bernilai RM1 bilion dengan kapasiti 200MW mula dibina pada awal 2027 di Paka, Terengganu liza17/11/2026 - 11:55 Ilustrasi reka bentuk loji hidrogen hijau Paka - Gambar China Energy Engineering Corporation (CEEC). Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 17 Nov – Projek Paka Green Hydrogen Plant (PGH2P) di Kuala Paka, Dungun dijangka memulakan kerja pembangunan fizikal pada awal 2027, melibatkan tanah industri seluas 46.54 hektar (115 ekar).

 

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pelaksanaan projek itu tertakluk kepada kelulusan Kebenaran Merancang, kelulusan teknikal serta pematuhan semua syarat dan keperluan yang ditetapkan pihak berkuasa.

 

“Pihak pemaju telah mengadakan rundingan awal dengan jabatan teknikal, agensi berkaitan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mendapatkan pandangan dan ulasan mengenai keperluan teknikal, perancangan serta syarat pembangunan.

 

“Pada masa sama, pemaju turut mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang kepada PBT yang merangkumi Pelan Susun Atur, Pelan Kerja Tanah dan Pelan Infrastruktur untuk semakan, pertimbangan serta kelulusan,” katanya menjawab soalan Sr Zaharuddin Zahid (PAS-Bukit Tunggal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

 

Perjanjian pajakan tanah dimeterai September lalu

Beliau berkata, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Industri bersama Nova RE Suria Sdn Bhd pada 7 September 2026.

 

Perjanjian itu melibatkan tanah seluas 46.54 hektar (115 ekar) di Kawasan Perindustrian Kuala Paka, Dungun bagi pembangunan PGH2P.

 

Projek berkenaan dibangunkan oleh Nova RE Suria dengan Bin Zayed International (M) Sdn Bhd yang bertindak sebagai pelabur utama menerusi kerjasama strategik yang dimeterai pada November 2025.

 

Pembangunan PGH2P dianggarkan melibatkan pelaburan RM1 bilion dan akan dilaksanakan dalam empat fasa dengan operasi projek disasarkan bermula pada 2029.

 

Loji berkenaan dirancang mempunyai kapasiti 200 megawatt (MW) menggunakan teknologi elektrolisis alkali (ALK Electrolysers) untuk menghasilkan hidrogen hijau menerusi penggunaan tenaga elektrik daripada sumber boleh baharu.

 

Pada kapasiti penuh, projek itu dijangka menghasilkan hampir 30,000 tan hidrogen hijau setahun untuk memenuhi permintaan pengguna industri tempatan dan pasaran antarabangsa.

 

Hidrogen yang dihasilkan juga boleh diproses menjadi produk hiliran seperti ammonia hijau dan metanol hijau, bergantung kepada permintaan pasaran.

 

Sokong pembangunan industri tenaga hijau

Menurut Mohd Nurkhuzaini, projek berkenaan selaras dengan pendekatan kerajaan negeri untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar bagi menyokong aktiviti pengeluaran industri bernilai tambah tinggi, termasuk penghasilan hidrogen hijau dan produk hilirannya.

 

Pendekatan itu turut menekankan pembangunan solar di kawasan perindustrian supaya memberikan nilai tambah kepada aktiviti pengeluaran dan operasi industri, bukannya hanya tertumpu kepada pembangunan ladang solar secara pasif.

 

Pembangunan PGH2P juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem industri hijau bersepadu di Terengganu yang menghubungkan penjanaan tenaga boleh baharu, pengeluaran hidrogen hijau serta pembangunan industri hiliran. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved