KLANG - Sebuah kediaman di Taman Mewah Jaya di sini tercemar apabila kira-kira 20 tan sisa barang kitar semula dilonggok tanpa pengurusan sehingga menimbulkan kacau ganggu serta risiko kesihatan kepada penduduk sekitar.
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dalam kenyataannya memaklumkan, pemilik premis menjadikan kediaman itu sebagai tempat penyimpanan berlebihan bahan kitar semula tanpa pengurusan sewajarnya sehingga menjejaskan kebersihan persekitaran.
Menurut kenyataan itu, operasi bersepadu dijalankan bermula jam 9.30 pagi hingga 1 tengah hari Rabu itu susulan aduan berulang yang diterima melalui sistem i-Responz.
"Operasi membabitkan Jabatan Kesihatan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran serta Jabatan Penguatkuasa MBDK.
"Operasi berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini," kata kenyataan itu pada Khamis.
Menurut MBDK, tindakan itu diambil bagi memastikan kesejahteraan komuniti setempat terpelihara daripada ancaman penyakit berjangkit selain mengurangkan risiko kebakaran.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan tidak menjadikan premis kediaman sebagai stor simpanan barang kitar semula secara berlebihan.
"Kegagalan mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil," tambah kenyataan itu.



