Lonjakan pendapatan sewa, jualan penyewa kukuhkan prestasi IGB REIT pada 1HFY25 - Kenanga

Business & FinanceProperty
7 Aug 2025 • 10:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lonjakan pendapatan sewa, jualan penyewa kukuhkan prestasi IGB REIT pada 1HFY25 - Kenanga

image is not available

07/08/2025 - 10:25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Lonjakan pendapatan sewa dan jualan penyewa di pusat beli-belah Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall mengukuhkan prestasi IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) bagi separuh pertama tahu kewangan 2025 (1HFY25).

Kenanga Research berkata, jualan keseluruhan bagi kedua-dua pusat beli-belah itu mencatatkan pertumbuhan positif meskipun terdapat sedikit menyusut dari suku tahun ke suku tahun disebabkan asas yang tinggi yang dipacu perayaan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.

Katanya, penyusutan itu dilihat bersifat sementara dan dijangka kembali normal pada suku-suku seterusnya.

Firma penyelidikan itu berkata, pemacu utama kepada pertumbuhan itu adalah hasil daripada kejayaan penyusunan semula ruang yang sebelum ini diduduki Metrojaya di Mid Valley Megamall, ruang yang merangkumi kira-kira 10% daripada jumlah keluasan bersih boleh disewa (NLA) telah sepenuhnya dipenuhi oleh sekitar 20 penyewa baharu berprestasi tinggi menjelang November 2024.

"Antara jenama terkenal yang kini beroperasi termasuk Urban Revivo dan Love, Bonito. Penyewa-penyewa baharu ini telah menyumbang kepada kadar sewaan lebih tinggi dan perolehan sewa yang meningkat, sekali gus menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan keuntungan IGB REIT," katanya dalam satu nota kajian.

Kenanga Research berkata, bagi 1HFY25, hasil kumpulan meningkat sebanyak 6%, manakala keuntungan bersih mencatat pertumbuhan 9%, dipacu oleh kenaikan kadar sewa dan penyewa baharu.

Katanya, IGB REIT turut mengisytiharkan dividen selepas cukai sebanyak 2.5 sen, menjadikan jumlah keseluruhan tahun setakat ini kepada 5.4 sen, sejajar dengan anggaran dividen boleh agih bersih (NDPU) sebanyak 11 sen bagi FY25.

Firma penyelidikan itu berkata, prospek IGB REIT dilihat lebih cerah susulan pengumuman pengambilalihan Mid Valley Southkey Mall di Johor Bahru daripada syarikat penajanya, IGB Berhad.

"Langkah strategik ini bukan sahaja dijangka meningkatkan NDPU sehingga 15% pada FY26, tetapi turut memperluas kehadiran geografi kumpulan di luar Lembah Klang serta memberi pendedahan kepada pertumbuhan ekonomi pesat Johor melalui projek Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan RTS Link yang sedang dibangunkan," katanya.

Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan kumpulan kepada "underperform" berbanding "market perform" dengan harga sasaran (TP) RM2.40 sesaham. - DagangNews.com

standard