Lotte Chemical Titan belum pasti dijual, syarikat induk Korea pertimbang langkah strategik lain

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 2:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lotte Chemical Titan belum pasti dijual, syarikat induk Korea pertimbang langkah strategik lain Image from: Lotte Chemical Titan belum pasti dijual, syarikat induk Korea pertimbang langkah strategik lain liza19/08/2026 - 14:48 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Lotte Chemical Titan Holdings Berhad menjelaskan syarikat induknya dari Korea Selatan, Lotte Chemical Corporation (LCC) masih mempertimbangkan beberapa langkah strategik berkaitan kumpulan itu, namun belum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan pelupusan syarikat tersebut.

 

Penjelasan itu dibuat susulan laporan media Korea yang menyebut Lotte Chemical Corporation merancang untuk menjual operasinya di Malaysia dan Indonesia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Lotte Chemical Titan berkata LCC sedang “mempertimbangkan pelbagai langkah strategik” berkaitan syarikat itu tetapi setakat ini masih tiada sebarang keputusan dibuat.

 

Saham melonjak Susulan Laporan Penjualan

Berita mengenai kemungkinan penjualan itu mencetuskan lonjakan ketara saham Lotte Chemical Titan di Bursa Malaysia yang meningkat sehingga 30.6% pada awal dagangan.

 

Saham syarikat itu kemudian berada pada 37 sen ketika rehat tengah hari, meningkat enam sen atau 19% yang memberikan nilai pasaran sekitar RM843 juta.

 

Lotte Chemical Titan turut menjadi antara kaunter paling aktif diniagakan dengan hampir 30 juta saham bertukar tangan, menunjukkan minat pelabur yang tinggi susulan laporan berkenaan.

 

Menurut laporan Korea Economic Daily, LCC dikatakan sedang merancang untuk melupuskan Lotte Chemical Titan di Malaysia serta kepentingannya dalam unit syarikat petrokimia berkenaan di Indonesia.

 

LCC kini memegang 75.86% kepentingan dalam Lotte Chemical Titan yang menyebabkan sebarang penjualan pegangan tersebut berpotensi mencetuskan tawaran am mandatori (MGO) kepada pemegang saham lain.

 

Penjualan Berpotensi Cetus Tawaran Am Mandatori

Sementara itu, Ketua penyelidikan Berjaya Securities, Kenneth Leong berkata urus niaga itu boleh melibatkan seorang pembeli atau beberapa pembeli yang akan menentukan sama ada tawaran am mandatori perlu dibuat atau sebaliknya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat induk Lotte Chemical Titan rancang jual operasi di Malaysia, Indonesia kepada Danantara

 

Menurutnya, sekiranya pegangan tersebut dijual kepada satu pembeli, transaksi itu berpotensi mencetuskan tawaran am mandatori manakala penjualan kepada beberapa pembeli mungkin tidak mencetuskan keperluan tersebut.

 

Beliau turut menyatakan bahawa saham Lotte Chemical Titan kini didagangkan pada penilaian yang agak rendah berbanding nilai bukunya, lapor The Edge.

 

Berdasarkan angka pada akhir Jun 2026, Lotte Chemical Titan mempunyai nilai buku RM2.73 sesaham, jauh lebih tinggi berbanding harga sahamnya yang hanya 37 sen walaupun selepas berlaku lonjakan susulan laporan berita tersebut.
 

Keadaan itu menunjukkan saham Lotte Chemical Titan masih didagangkan pada diskaun besar berbanding nilai bukunya yang mungkin menjadi antara faktor menarik perhatian pelabur terhadap kemungkinan perubahan pemilikan syarikat.

 

Masih Catat Kerugian Walaupun Saham Melonjak

Dalam perkembangan berkaitan, CGS International berkata kenaikan harga minyak serta peningkatan harga jualan produk petrokimia yang menyertainya mungkin turut memberi sokongan kepada saham Lotte Chemical Titan.

 

Harga minyak mentah Brent, penanda aras global, berada berhampiran AS$92 setong ketika ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak.

 

Bagaimanapun, dari sudut prestasi kewangan, Lotte Chemical Titan masih berdepan cabaran apabila mencatat kerugian selama lebih empat tahun berturut-turut.

 

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026, syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM296.9 juta.

 

Sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2017, saham Lotte Chemical Titan telah merosot lebih 90%, menyebabkan nilai pasaran semasanya hanya sebahagian kecil daripada kira-kira RM15 bilion ketika penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved