
KUALA LUMPUR – UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) memperkenalkan jenama korporat yang diperkasa sebagai langkah strategik bagi menandakan fasa baharu pertumbuhan syarikat pemaju hartanah itu.
UEM Sunrise dalam kenyataan memaklumlam, ia juga bertujuan memperjelas hala tuju perniagaan serta komitmen mencipta nilai jangka panjang.
Menerusi pembaharuan jenama berteraskan tema ‘Demi masa depan yang lebih bermakna’, UEM Sunrise berkata, pendekatan itu mencerminkan tujuan baharunya dalam memacu pertumbuhan syarikat dengan lebih berfokus, berdisiplin dan mampan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata, pemerkasaan jenama berkenaan bukan sekadar perubahan identiti korporat, sebaliknya menggambarkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan berpaksikan tujuan serta penciptaan nilai jangka panjang.
“‘Demi masa depan yang lebih bermakna’ merupakan falsafah yang mendasari cara kami mencipta nilai, serta menjadi piawaian yang kami pegang teguh dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Setiap keputusan hari ini perlu memperkukuh komuniti yang kami santuni, mewujudkan nilai berkekalan kepada para pemegang saham serta menyumbang secara bermakna kepada masa depan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, seiring perkembangan perniagaan, UEM Sunrise memberi tumpuan kepada pelaksanaan yang lebih berdisiplin, peruntukan modal secara bertanggungjawab serta pembinaan portfolio secara berdaya tahan.
“Tujuan kami menjadi panduan dalam mengenal pasti peluang secara strategik, mencipta dengan aspirasi serta melaksanakan dengan disiplin,” katanya.
Dalam kenyataan sama, UEM Sunrise menjelaskan, pembaharuan jenama itu turut memperkenalkan elemen grafik Seed yang melambangkan kepercayaan syarikatnya bahawa setiap pembangunan bermakna perlu bermula dengan tujuan jelas dan perancangan rapi.
“Bagi UEM Sunrise, ia mencerminkan falsafah berterusan mengenai tanggungjawab pengurusan, iaitu memahami perkara yang perlu dibangunkan, lokasi yang sesuai, masa yang tepat serta, yang paling penting, perkara yang perlu dipelihara.
“Pendekatan ini mengimbangi disiplin komersial dengan tanggungjawab untuk mewujudkan ruang yang memberikan nilai berkekalan kepada masyarakat, perniagaan dan generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, UEM Sunrise menyatakan model perniagaannya kini diperkukuh menerusi tiga teras iaitu Pembangunan Hartanah, Pelaburan Hartanah, serta Usaha Niaga dan Pelaburan.
Tambahnya, ketiga-tiga teras berkenaan membentuk model perniagaan lebih seimbang dan berdaya tahan, selain membolehkan syarikat meningkatkan aliran pendapatan berulang serta meneroka peluang kerjasama strategik.
UEM Sunrise berkata, komitmen terhadap pembangunan turut diterjemahkan menerusi portfolio syarikat, termasuk pemeliharaan aset semula jadi yang mampu memberi nilai berterusan kepada komuniti.
“Sireh Park, antara taman bandar terbesar di Malaysia, mencerminkan komitmen ini dengan menberikan manfaat berkekalan kepada komuniti dan generasi akan datang.
“Ia memperkukuh kepercayaan syarikat bahawa kemajuan negara bukan sahaja diukur melalui apa yang dibangunkan, tetapi juga apa yang dipelihara secara bertanggungjawab,” katanya.
UEM Sunrise juga berkongsi, selama hampir enam dekad, syarikatnya memainkan peranan dalam pembangunan bandar Malaysia menerusi pelbagai projek termasuk pembangunan Mont’Kiara serta perancangan Iskandar Puteri di Johor. – KOSMO! ONLINE
The post UEM Sunrise perkasa jenama, fokus pertumbuhan mampan appeared first on Kosmo Digital.


