sarah05/11/2026 - 17:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Lotte Chemical Titan Holding Berhad mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM435 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM191 juta setahun lalu, meskipun hasil meningkat 17% kepada RM2.85 bilion.
Menurut kumpulan petrokimia itu, peningkatan hasil daripada RM2.45 bilion pada suku sama tahun lalu didorong harga jualan purata produk yang lebih tinggi, namun sebahagiannya diimbangi penurunan jumlah jualan dan penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemical Titan, Jang Seon Pyo berkata, ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global terus menjejaskan pasaran tenaga serta rantaian bekalan, manakala ketegangan di Timur Tengah, kos pengangkutan yang tinggi dan permintaan hiliran yang lemah terus memberi tekanan kepada margin kumpulan.
"Kumpulan akan terus memantau perkembangan pasaran dan mengurus pendedahan mata wang, selain memperkukuh kehadirannya di Malaysia, Indonesia serta pasaran utama Asia Tenggara bagi menghadapi persekitaran operasi yang mencabar," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Bursa Malaysia.
Kerugian lebih besar itu berpunca terutamanya daripada tambahan kos susut nilai dan faedah berkaitan projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE), selain tekanan terhadap margin keuntungan berikutan perbezaan harga jualan produk dan kos bahan mentah yang semakin mengecil.
Projek LINE yang masih dalam fasa pentauliahan pada suku ketiga 2025 memulakan operasi komersial pada Oktober tahun lalu, sekali gus menyebabkan kos susut nilai mula diambil kira dalam prestasi kewangan kumpulan.
Berbanding suku kedua 2026, hasil Lotte Chemical Titan menyusut 8% daripada RM3.11 bilion, manakala kerugian sebelum cukai bertambah daripada RM396 juta kepada RM435 juta, terutamanya akibat tekanan margin dan sumbangan keuntungan lebih rendah daripada syarikat bersekutunya, Lotte Chemical USA Corporation.
Kadar penggunaan purata loji turut menurun kepada 48% berbanding 50% pada suku sebelumnya dan tempoh sama tahun lalu, mencerminkan usaha kumpulan menyesuaikan pengeluaran dengan keadaan pasaran semasa.- DagangNews.com






