sarah04/11/2026 - 17:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Tawaran awam permulaan (IPO) MyDCD Bhd mencatatkan lebihan langganan sebanyak 36.46 kali selepas menerima 28,816 permohonan bagi 3.36 bilion saham bernilai RM1.88 bilion, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 November 2026.
Menurut pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini, jumlah permohonan itu jauh melebihi 89.7 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi IPO berkenaan.
Bagi kategori Bumiputera, sebanyak 13,378 permohonan diterima untuk 1.12 bilion saham, mencatatkan lebihan langganan 24 kali, manakala kategori awam Malaysia lain menerima 15,438 permohonan bagi 2.24 bilion saham dengan lebihan langganan lebih tinggi, iaitu 48.92 kali.
TA Securities Holdings Bhd, yang membuat pengumuman bagi pihak lembaga pengarah MyDCD, turut memaklumkan bahawa 36 juta saham yang diperuntukkan kepada pihak layak telah dilanggan sepenuhnya.
Penempatan persendirian turut mendapat sambutan penuh
Sementara itu, sebanyak 130.05 juta saham yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih serta 224.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut berjaya ditempatkan sepenuhnya.
Secara keseluruhan, 354.3 juta saham penempatan persendirian diagihkan kepada 2,263 pelabur, dengan 10 pelabur terbesar menerima 56.05% daripada jumlah saham penempatan tersebut.
MyDCD sasar kutip RM268.8 juta menerusi IPO
Sebelum ini, MyDCD yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan pembinaan pusat data mengumumkan rancangan mengumpul RM268.8 juta menerusi IPO pada harga 56 sen sesaham, bagi menyokong pengembangan perniagaan dan keperluan operasinya.
Penyenaraian MyDCD dijadualkan berlangsung pada 17 November 2026, dengan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 1.794 bilion saham selepas IPO.- DagangNews.com






