sarah05/11/2026 - 17:50 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - TT Vision Holdings Berhad menerima tempahan bernilai RM15.32 juta daripada sebuah syarikat pengeluar semikonduktor global bagi membekalkan mesin pemeriksaan automatik yang digunakan untuk mengesan kecacatan komponen dalam proses pembuatan cip.
Tempahan itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, TT Vision Technologies Sdn Bhd (TTVT), melibatkan pesanan pembelian rasmi (purchase order) bagi peralatan pemeriksaan optik automatik (Automated Optical Inspection Equipment) yang dijangka disiapkan dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh penerimaan pesanan.
Menurut TT Vision dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, peralatan berkenaan akan digunakan untuk menyokong operasi pembuatan semikonduktor pelanggan terbabit.
Kumpulan itu menjangkakan tempahan tersebut memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027.
Bagaimanapun, tempahan itu tidak akan memberi kesan terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama TT Vision dan anak-anak syarikatnya.
TT Vision berkata, pihaknya tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada pelaksanaan tempahan berkenaan, selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pembekalan dan penghantaran peralatan.
Tempahan itu juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia, manakala tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam urus niaga tersebut.
Lembaga pengarah TT Vision berpandangan penerimaan tempahan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa kumpulan dan adalah demi kepentingan terbaik syarikat.- DagangNews.com






