
TANJUNG MALIM – Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Lovely Sabana Augustine, 20, ditawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dia yang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah sekitar pukul 8.30 pagi semalam melahirkan rasa gembira apabila akhirnya dapat mendaftar sebagai pelajar universiti itu walaupun pada mulanya berdepan masalah kewangan.
“Saya berasa gembira dan berharap dapat belajar bersungguh-sungguh dan mengejar cita cita sebagai seorang pendidik pada suatu hari nanti demi mengubah hidup keluarga,” kata anak keempat dari empat beradik itu di sini semalam.
Lovely Sabana berkata, dia mendapat panggilan dua temuduga iaitu untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pendidikan Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral.
Katanya, rezekinya adalah pada bidang pengajian Pendidikan Moral dan dia menerimanya dengan hati terbuka.
“Saya berazam menunaikan harapan keluarga, lagipun saya adalah anak pertama dalam keluarga yang berjaya melangkah ke universiti,” katanya.
Lovely Sabana baru-baru ini mendapat perhatian pelbagai pihak di media sosial berikutan dilema kewangan dihadapinya.
Dia yang mencatat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 di Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat ditemani ibunya, Mek Kenui a/p Eh Puang, 56, seorang pekerja pembersihan bersama ahli keluarga yang lain.
Menurutnya, dua abangnya yang bekerja di premis makanan di Johor turut hadir menghantarnya, manakala abang yang bekerja kampung tidak dapat ikut kerana kereta telah penuh.
Mendiang bapanya, Augustine Sandalun seorang anggota tentera di Kem Lok Kawi, Sabah, berketurunan Kadazan berasal dari Papar meninggal dunia pada 10 November 2017 kerana serangan angin ahmar ketika usia Lovely Sabana 11 tahun.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang turut menyantuni Lovely dan keluarganya berharap pelajar baharu itu bergiat aktif dan memperlihatkan bakat sepanjang pengajian selain mengejar kecemerlangan akademik.
“UPSI hari ini bukan lagi seperti puluhan tahun dahulu, malah ramai pelajar melakar sejarah mencipta kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, UPSI memiliki pelbagai kemudahan dan suasana pembelajaran yang kondusif serta selesa yang boleh dimanfaatkan oleh Lovely Sabana. – KOSMO! ONLINE
The post Lovely Sabana ditawar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral di UPSI appeared first on Kosmo Online.






