
TANJUNG MALIM – Atlet kayak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Sukan Institusi Pendidikan Tinggi edisi ketujuh (SUKIPT 2026).
Syahida Asyiqin Rusli, 22, bersyukur kerana mengekalkan prestasi cemerlang pada perlumbaan akhir apabila mencatat masa 58.50 saat (s) untuk meraih pingat emas mengatasi cabaran pendayung dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).
“Kejayaan ini sangat bermakna kerana pada asalnya saya memberi tumpuan kepada acara K1 200 meter (m) namun terpaksa menukar fokus kepada TK1 200m selepas acara berkenaan digugurkan pada saat akhir.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira. Saya datang ke SUKIPT dengan sasaran untuk melakukan yang terbaik dan memang tidak menyangka dapat menutup kejohanan ini dengan kemenangan, rekod kebangsaan baharu serta dinobatkan sebagai Olahragawati SUKIPT,” katanya di sini hari ini.
Pencapaian tersebut turut menyaksikan Syahida Asyiqin mencipta rekod dalam dua penampilan berturut-turut di SUKIPT, selepas memperbaharui rekod kejohanan acara K1 200m pada edisi 2024.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kejayaan Syahida Asyiqin menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat UPSI dalam usaha memperkasakan pembangunan atlet mahasiswa dan melahirkan generasi yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan serta kecemerlangan sukan. – KOSMO! ONLINE
The post Syahida Asyiqin Olahragawati SUKIPT 2026 appeared first on Kosmo Digital.






