
MARAN: Hasrat seorang Leftenan Muda Kesatria, Fadhlan Fakhry Solana Mohamad Fellimal, 21, untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda tidak kesampaian apabila meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC) 2026.
Insiden itu berlaku di Kampus Jengka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang pada Jumaat lalu.
Allahyarham tidak sempat melihat atau menerima surat tawaran itu selepas menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh kira-kira pukul 2 petang, kelmarin.
Bapanya, Mohamad Fellima Mohd. Sulanah, 50, berkata, arwah menamatkan pengajian Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi di UiTM Kampus Seremban 3, Negeri Sembilan dan berhasrat menyambung pengajian melalui program penerapan.
“Dia baru sahaja menamatkan pengajian diploma dan memohon untuk sambung ijazah. Tidak silap saya tawaran untuk sambung ke peringkat ijazah ini boleh diakses di laman UiTM bermula hari ini.
“Sebagai bapa, perkara ini sangat menyentuh hati kerana anak saya mempunyai cita-cita dan perancangan untuk masa depannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HoSHAS semalam.
Menurut Mohamad Fellima, Fadhlan Fakhry Solana merupakan anak kedua daripada empat beradik lelaki dan sememangnya meminati bidang sukan serta kegiatan unit beruniform sejak di bangku sekolah menengah dengan menyertai kadet bomba.
Katanya, minat itu diteruskan di UiTM dan turut aktif dalam kegiatan sukan dan Kesatria sebelum diberi kepercayaan mewakili UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam KKEC 2026.
“Ini kali ketiga dia menyertai cabaran itu dan pada dua edisi terdahulu dia berjaya menamatkan cabaran. Sebelum menyertai acara kali ini, keadaan kesihatannya baik dan dia sudah membuat persediaan secukupnya,” katanya.
Menurutnya, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 6.55 petang pada 4 September, sebelum Fadhlan Fakhry Solana menyertai acara berkenaan pada malam hari kejadian.
Dalam pada itu, UiTM membatalkan KKEC 2026 susulan insiden itu.
UiTM menzahirkan takziah kepada keluarga Allahyarham serta menggerakkan bantuan bagi urusan pengurusan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan sokongan emosi.
Program yang berlangsung dari 2 hingga 8 September itu menghimpunkan Komander Kesatria UiTM seluruh negara dengan semua peserta menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan berkala sebelum aktiviti.
Selain Allahyarham, lapan lagi peserta dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah berkaitan haba.
Arwah antara dua peserta yang menerima rawatan di HoSHAS manakala tujuh lagi dirawat di Hospital Jengka. – UTUSAN
The post Tak sempat terima surat tawaran ijazah appeared first on Utusan Malaysia.






