LPT3 hubungkan Terengganu-Kelantan guna kaedah bidaan kompetitif, kos pembangunan ditanggung sektor swasta

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LPT3 hubungkan Terengganu-Kelantan guna kaedah bidaan kompetitif, kos pembangunan ditanggung sektor swasta Image from: LPT3 hubungkan Terengganu-Kelantan guna kaedah bidaan kompetitif, kos pembangunan ditanggung sektor swasta liza28/10/2026 - 09:01 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt – Cadangan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer yang menghubungkan Terengganu dan Kelantan kini berada pada peringkat penyediaan dokumen bidaan sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan keputusan.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dicadangkan dari Kampung Gemuruh di Terengganu hingga Tunjong di Kelantan itu akan dilaksanakan melalui kaedah penswastaan menerusi kerjasama awam-swasta (PPP).

 

Beliau berkata, pelaksanaan projek berkenaan akan menggunakan proses bidaan kompetitif atau permintaan cadangan (RFP) dengan pembida yang berjaya menanggung sepenuhnya kos pembangunan.

 

Menurut beliau, Pernyataan Keperluan Projek (Statement of Needs, SON) telah dikemukakan kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan dokumen RFP disediakan.

 

Dokumen berkenaan akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri selepas selesai disediakan untuk pertimbangan dan keputusan kerajaan.

 

Nanta berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya pada peringkat dasar di Dewan Rakyat.

 

LPT3 dicadangkan bagi melengkapkan rangkaian Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) untuk menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan.

 

Kerajaan utamakan kemajuan projek lebuh raya Kelantan

Dalam perkembangan berkaitan, Nanta berkata kerajaan ketika ini memberi keutamaan kepada kelancaran pelaksanaan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) supaya kedua-duanya dapat disiapkan mengikut jadual.

 

Bagi projek KBKK sepanjang 70.4 kilometer, kemajuan fizikal keseluruhan mencapai 78.80 peratus, manakala laluan Pasir Hor-Kadok telah siap sepenuhnya.

 

Baki lima pakej projek itu masih dalam pembinaan dan dijangka disiapkan pada 2027. Sementara itu, bahagian Kelantan bagi projek LTU yang merangkumi 10 subpakej bernilai RM3.08 bilion dari Kuala Krai ke Gua Musang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2028. Pelantikan kontraktor baharu bagi LTU hampir selesai

 

Mengulas kelewatan Pakej 3 LTU yang melibatkan Seksyen 3B dan 3C, Nanta berkata pelantikan kontraktor pengganti kini berada pada peringkat akhir proses perolehan.

 

Surat Setuju Terima disasarkan dikeluarkan menjelang pertengahan November 2026, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan.

 

Menurut beliau, pelantikan itu akan membolehkan kerja pembinaan disambung semula dan baki kerja disiapkan mengikut jadual yang disemak semula.

 

Empat pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap

Bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer, sebanyak empat daripada 35 pakej kerja telah disiapkan, manakala baki 31 pakej disasarkan selesai secara berperingkat menjelang 2030.

 

Nanta berkata kemajuan fizikal Fasa 1A mencapai 89.54 peratus, manakala Fasa 1B mencatatkan 25.53 peratus.

 

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya menerima peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.146 bilion bagi 2027, meningkat 5.6 peratus.

 

Peruntukan pembangunan pula berjumlah RM9.736 bilion, meningkat 3.0 peratus berbanding RM9.607 bilion pada 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved