
KUALA LUMPUR – Kos pembangunan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) akan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya menerusi kaedah penswastaan melalui Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan pelaksanaan projek lebuh raya itu kini berada pada peringkat penyediaan dokumen Permintaan Cadangan (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM).
Menurut beliau, Penyataan Keperluan Projek (SON) LPT3 telah dikemukakan kepada UKAS JPM bagi membolehkan dokumen RFP disediakan sebelum dibawa untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
“Kerajaan telah memutuskan cadangan pelaksanaan LPT3 dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) iaitu Bidaan Bersaing atau Request for Proposal (RFP), yang mana kos pembangunan LPT3 ini ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
LPT3 yang dicadangkan sepanjang 122 kilometer itu akan bermula di Kampung Gemuruh, Terengganu dan berakhir di Tunjong, Kelantan.
Jajaran berkenaan dirancang bagi melengkapkan rangkaian LPT1 dan LPT2, sekali gus menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan menerusi jaringan lebuh raya yang lebih menyeluruh.
Nanta berkata, kajian awalan bagi projek itu telah dilaksanakan dengan mengambil kira aspek aliran trafik, sosial, ekonomi, alam sekitar serta teknikal kejuruteraan bagi menentukan jajaran terbaik.
Bagaimanapun, buat masa ini, fokus utama kerajaan adalah memastikan projek Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KBKK) berjalan lancar serta disiapkan mengikut jadual.
Beliau berkata, penyiapan kedua-dua projek itu penting bagi melengkapkan jaringan perhubungan strategik dan memberikan manfaat langsung kepada penduduk, khususnya di Pantai Timur. – KOSMO! ONLINE
The post LPT3: Kos pembangunan ditanggung sepenuhnya pembida berjaya appeared first on Kosmo Online.






