Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah

10 Oct 2026 • 11:32 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah

KUALA LUMPUR: Lelaki yang tular cuba melarikan diri daripada polis di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai, dekat sini semalam, berjaya ditahan selepas cedera ditembak.

Suspek berusia 30-an yang memandu Proton Wira secara berbahaya serta merempuh beberapa kenderaan lain sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.

Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pihaknya sebelum itu menerima laporan insiden polis peronda mengejar kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu jam 6.42 petang semalam. Suspek memandu secara agresif dan berbahaya serta merempuh kenderaan lain sebelum ditahan di tempat kejadian.

“Suspek cedera akibat ditembak polis dalam kejadian itu dan kini masih menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, seorang anggota polis turut mengalami kecederaan dalam insiden itu dan sudah menerima rawatan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lalu merangkumi enam kes dadah dan empat kes jenayah.

Polis turut merampas dadah serta senjata mainan menyerupai pistol. Ujian saringan air kencing belum dapat dijalankan kerana suspek masih menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, polis masih menyiasat punca suspek bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara melulu atau berbahaya.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Shamsudin berkata, permohonan reman terhadap suspek dijadualkan dibuat di PPUM hari ini.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan insiden polis mengejar kenderaan suspek di lokasi kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.

The post Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved