LPT3 Terengganu-Kelantan: Kerajaan digesa guna model pembiayaan hibrid seperti Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 2:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LPT3 Terengganu-Kelantan: Kerajaan digesa guna model pembiayaan hibrid seperti Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang Image from: LPT3 Terengganu-Kelantan: Kerajaan digesa guna model pembiayaan hibrid seperti Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang liza05/11/2026 - 14:58 Projek LPT3 di Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjong Kelantan masih belum bermula - Gambar Sekretariat Akhbar MB Terengganu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kerajaan diminta mempertimbangkan model pembiayaan hibrid bagi mempercepat pelaksanaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sama seperti pendekatan pembiayaan projek penyuraian trafik Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang.

 

LPT3 yang dicadangkan menghubungkan Kampung Gemuruh di Terengganu ke Tunjong di Kelantan mempunyai anggaran kos pembangunan RM9.8 bilion berdasarkan kajian terdahulu.

 

Bagaimanapun, pelaksanaannya dicadangkan menerusi model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) berikutan kekangan fiskal Kerajaan Persekutuan dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida swasta yang berjaya.

 

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Alias Razak berkata, model pembiayaan hibrid bagi Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua di Pulau Pinang bernilai RM3 bilion membabitkan 60% peruntukan Kerajaan dan 40% pembiayaan PLUS Berhad.

 

“Oleh itu saya ingin mendapatkan penjelasan, apakah pertimbangan yang membezakan pendekatan pembiayaan kedua-dua projek ini dan adakah model pembiayaan hibrid turut dinilai bagi mempercepat pelaksanaan LPT3?.

 

“Nilai strategik LPT3 tidak seharusnya diukur melalui potensi kutipan tol semata-mata, tetapi juga melalui penjimatan masa perjalanan, kelancaran logistik, peluang perniagaan dan limpahan ekonomi kepada Terengganu serta Kelantan. 

 

“Sehubungan itu, saya memohon Kementerian Kerja Raya menjelaskan status terkini proses permohonan cadangan atau RFP, garis masa pemilihan pelaksana dan sasaran permulaan pembinaan. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: LPT3 Terengganu-Kelantan guna kaedah bidaan kompetitif, kos pembangunan ditanggung sektor swasta

 

“Pada masa yang sama, apakah mekanisme yang akan digunakan bagi memastikan struktur pembiayaan dan kadar tol kelak tidak membebankan rakyat? Penilaian projek infrastruktur strategik perlu mengambil kira pulangan sosial dan ekonomi kepada wilayah, bukan semata-mata kebolehlaksanaan kewangan projek,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

 

Selain itu, mekanisme penetapan struktur pembiayaan dan kadar tol perlu diperjelaskan bagi memastikan kos penggunaan lebuh raya kelak tidak membebankan rakyat.


ECRL perlu disokong pembangunan sekitar stesen

Dalam pada itu, beliau berkata kemajuan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambut baik sebagai pemangkin hubungan ekonomi antara Pantai Timur dengan Pantai Barat.

 

“Bagaimanapun, pembinaan landasan sahaja tidak menjamin limpahan ekonomi kepada penduduk setempat sekiranya pembangunan kawasan sekitar stesen, jalan penghubung dan pengangkutan awam tidak dirancang secara bersepadu.

 

“Saya memohon penjelasan Kementerian Pengangkutan mengenai tahap kesiapsiagaan pengoperasian ECRL, integrasi stesen dengan sistem pengangkutan tempatan serta perancangan pembangunan ekonomi di sepanjang jajaran Terengganu.

 

“Perancangan itu juga perlu memberi perhatian kepada penyertaan perusahaan tempatan supaya manfaat pembangunan infrastruktur dapat dinikmati lebih meluas,” katanya yang menyifatkan LPT3 dan ECRL sebagai dua projek infrastruktur yang saling melengkapi dalam memperkukuh jaringan pengangkutan Pantai Timur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved