
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan siasatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang memanipulasi subsidi kerajaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, laporan polis sudah dibuat susulan aduan berhubung kegiatan yang dipercayai membabitkan penyalahgunaan kelayakan subsidi Budi Madani oleh stesen minyak terbabit.
Katanya, siasatan ketika ini diketuai PDRM dengan penglibatan KPDN bagi mengenal pasti kesalahan yang berlaku dan pihak yang bertanggungjawab.
“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah, antara tindakan yang boleh dilaksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen CSA pemilik stesen berkenaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Untuk membuka stesen minyak, selain lesen PDA, pengusaha juga perlu mempunyai lesen CSA, iaitu lesen bagi barang kawalan berjadual,” katanya semasa sidang media sempena pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026, di sini, Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kementerian Kewangan (MOF) yang Selasa lalu memaklumkan sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani, selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi.
MOF melaporkan, semakan rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, tindakan tegas boleh diambil sekiranya siasatan mengesahkan berlaku pelanggaran syarat lesen, termasuk manipulasi rekod yang menjadi tanggungjawab pemegang lesen CSA.
Katanya, penyalahgunaan subsidi Budi Madani tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan implikasi kewangan yang besar, selain menjejaskan usaha kerajaan membantu rakyat.






