LRT Kelana Jaya ‘Buat Hal’ Lagi, Penumpang Mengadu Tren Sesak, Lewat Pagi Tadi

8 Sep 2026 • 4:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

LRT Kelana Jaya ‘Buat Hal’ Lagi, Penumpang Mengadu Tren Sesak, Lewat Pagi Tadi

KUALA LUMPUR - Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berdepan kelewatan dan kesesakan pagi ini, dengan beberapa penumpang melaporkan perkhidmatan tren bergerak perlahan serta berhenti lebih lama di beberapa stesen.

Bagaimanapun, Rapid KL dalam kemas kini rasminya hanya mengesahkan berlaku peningkatan jumlah penumpang dan kesesakan di Stesen Pasar Seni.

Menurut Rapid KL, kawalan kemasukan dan aliran penumpang dilaksanakan di stesen terjejas bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan dengan selamat dan lancar.

“Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, kawalan kemasukan dan aliran penumpang kini dilaksanakan di stesen yang terjejas,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beberapa pengguna media sosial berkongsi pengalaman berdepan kesesakan di platform dan dalam tren Laluan Kelana Jaya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Threads, @nibukanyon, mendakwa masalah berkenaan berlarutan sejak semalam, selain mendakwa kekerapan tren menjadi perlahan dan beberapa stesen sesak.

Sementara itu, pengguna @addazwan mendakwa tren dinaikinya melakukan beberapa brek secara mengejut dan tidak berhenti di Stesen Asia Jaya serta Taman Jaya sebelum penumpang diminta turun di Stesen Kerinchi.

Seorang lagi pengguna, @jazz_sidhu1, mendakwa tren berhenti antara tujuh hingga lapan minit di beberapa stesen, menyebabkan kelewatan kepada penumpang yang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Dakwaan pengguna media sosial berhubung kelewatan dan gangguan perkhidmatan itu bagaimanapun belum disahkan secara bebas oleh Rapid KL.

Dalam kemas kini pagi ini, Rapid KL secara khusus memaklumkan mengenai peningkatan jumlah penumpang dan kesesakan di Stesen Pasar Seni, selain pelaksanaan kawalan kemasukan serta aliran penumpang di stesen terjejas. - Getaran, 8 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved