LRT3 Shah Alam: Laluan pejalan kaki, mikromobiliti diberi perhatian

9 Sep 2026 • 11:19 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

LRT3 Shah Alam: Laluan pejalan kaki, mikromobiliti diberi perhatian

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penyediaan laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa serta kemudahan mikromobiliti diberi perhatian dalam pembangunan menyeluruh Laluan Transit Aliran Ringan (LRT3) bagi memastikan perjalanan pengguna lebih mudah dan lancar.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han berkata pembangunan pengangkutan awam perlu mengambil kira keseluruhan pengalaman pengguna, termasuk akses dari stesen ke destinasi akhir dan bukan hanya perjalanan menggunakan tren.

Katanya, penyediaan laluan pejalan kaki yang bersambung, selesa dan mudah diakses penting bagi melengkapkan perjalanan pengguna selepas keluar dari stesen.

“Pembangunan pengangkutan awam bukan sekadar memastikan tren sampai ke stesen.

“Perjalanan pengguna perlu diteruskan dengan laluan pejalan kaki yang selamat, selesa, bersambung dan mudah diakses sehingga ke destinasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi ‘walking audit’ bersama wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan PLANMalaysia di sekitar Pusat Bandar Shah Alam.

Menurut Sze Han, dari Stesen Dato’ Menteri, laluan pejalan kaki berbumbung akan menghubungkan stesen berkenaan dengan Aneka Walk PKNS, SACC Mall, pusat bandar Shah Alam serta Laluan Pejalan Kaki Berbumbung SUK sejauh lebih tiga kilometer.

Dalam pada itu, katanya, aspek mikromobiliti turut diberi perhatian bagi melengkapkan perjalanan pengguna terutama bagi perjalanan awal dan akhir.

“Kita pada masa sama melihat bagaimana kemudahan mikromobiliti seperti ‘e-scooter’ dan parkir basikal boleh melengkapkan perjalanan fasa awal dan akhir.

“Kita juga akan adakan lebih banyak ‘walking audit’ di sekitar Selangor demi mewujudkan Selangor yang selamat untuk pejalan kaki,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved