
PETALING JAYA, 27 OGOS: Selangor yakin pelaburan ke negeri ini akan terus kukuh sepanjang tahun walaupun berdepan jerebu, kata EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han.
Beliau berkata Selangor merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM33.1 bilion pada suku pertama tahun ini.
“Kami yakin jumlah pelaburan yang masuk ke Selangor juga akan kekal tinggi pada suku kedua dan suku-suku seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Selangor International Business Summit (SIBS) tahun ini di Hotel Sheraton Petaling Jaya, hari ini.
Menurutnya, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama pelaburan, diikuti sektor pembuatan serta elektrik dan elektronik (E&E).
Sze Han berkata jerebu setakat ini tidak memberi kesan besar secara langsung terhadap pelaburan di Selangor.
“Kalau secara langsung, tidak begitu ketara. Mesyuarat diadakan pagi tadi untuk mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan dan menentukan tindakan yang perlu diambil semua agensi, termasuk sekolah.
“Kenyataan lanjut mengenai tindakan Kerajaan Negeri berhubung jerebu dijangka dikeluarkan lewat hari ini,” katanya.
Beberapa kawasan di Selangor termasuk Johan Setia, Banting, Klang dan Shah Alam mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.



