LSH Capital dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 2:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LSH Capital dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: LSH Capital dapat kelulusan pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia liza02/10/2026 - 14:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Okt – Lim Seong Hai Capital Berhad (LSH Capital) mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad untuk memindahkan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

SC meluluskan cadangan pemindahan itu pada 2 Oktober 2026 dan Bursa Malaysia turut meluluskan pemindahan tersebut di bawah sektor Pembinaan. 

 

LSH Capital sebelum ini disenaraikan di Pasaran LEAP pada Julai 2021 sebelum berpindah ke Pasaran ACE pada 21 Mac 2025 dan seterusnya ke Pasaran Utama sebagai perkembangan korporat kumpulan. 

 

Sejak disenaraikan, LSH Capital telah mengembangkan perniagaannya melalui pengambilalihan dan kepelbagaian aktiviti, daripada bekalan bahan binaan, produk pencahayaan dan peralatan pembinaan kepada kerja pembinaan serta kejuruteraan, pembangunan hartanah dan pengurusan fasiliti. 

 

Daripada bahan binaan kepada kumpulan pembinaan

Ketika ini, kumpulan itu mempunyai tiga segmen perniagaan utama iaitu pembinaan, pembangunan hartanah dan pengurusan fasiliti, dengan lima subsegmen meliputi kerja pembinaan dan kejuruteraan, perkhidmatan serta penyelesaian berkaitan pembinaan, produk pembinaan, pembangunan hartanah dan pengurusan fasiliti.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, segmen pembinaan menyumbang RM277.21 juta atau 60.38% daripada hasil kumpulan, diikuti pembangunan hartanah sebanyak RM158.60 juta atau 34.55%, manakala pengurusan fasiliti menyumbang RM23.28 juta atau 5.07%. 

 

 

Perkembangan kumpulan turut meliputi pengurusan aset hospitaliti, rekreasi dan hartanah berkaitan yang memberikan sumber pendapatan berulang sebagai pelengkap kepada aktiviti pembinaan dan pembangunan hartanah. 

 

Menara Kuala Lumpur tambah sumber pendapatan

Antara perkembangan utama ialah penglibatan LSH Capital dalam pengurusan fasiliti melalui pengendalian kemudahan ‘Blue Pool’ di bawah projek River of Life pada 2024, sebelum kumpulan itu menerima konsesi selama 20 tahun untuk operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur bermula 1 April 2025. 

 

Kumpulan itu turut mengembangkan aktiviti hospitaliti dan rekreasi menerusi penubuhan LSH Morib Golf & Country Club Sdn Bhd serta LSH Morib Development Sdn Bhd pada Disember 2025, termasuk usaha membangunkan semula kelab golf dan projek pembangunan bercampur di kawasan Morib, Banting, Selangor. 

 

Prestasi kewangan

Dari segi kewangan, hasil LSH Capital meningkat kepada RM459.09 juta bagi tahun kewangan 2025 daripada RM361.41 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai meningkat kepada RM102.78 juta daripada RM74.28 juta. 

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan meningkat 12.66% kepada RM366.44 juta berbanding RM325.25 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong terutama oleh pertumbuhan segmen pembinaan dan pengurusan fasiliti. 

 

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai bagi tempoh tersebut turun sedikit kepada RM64.35 juta daripada RM65.13 juta disebabkan perubahan campuran hasil dan keuntungan apabila sumbangan daripada projek LSH Segar yang mempunyai margin lebih tinggi berkurangan, manakala sumbangan pembinaan dan pengurusan fasiliti meningkat. 

 

Setakat tarikh terkini yang dinyatakan dalam pengumuman itu, LSH Capital mempunyai modal saham terbitan RM447.51 juta yang terdiri daripada 838.36 juta saham, dengan kira-kira 32.37% daripada jumlah saham dipegang oleh 2,002 pemegang saham awam. 

 

Berdasarkan purata harga dagangan wajaran volum lima hari (VWAP) sebanyak RM1.6165 sesaham sehingga 1 Oktober 2026, LSH Capital mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1.36 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved