liza01/10/2026 - 18:14 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Okt – Tawaran awam permulaan (IPO) EcoSys (Malaysia) Berhad mendapat sambutan tinggi apabila bahagian saham yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia terlebih langgan sebanyak 206.7 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
EcoSys menerima sebanyak 31,734 permohonan bagi 5.934 bilion saham baharu berbanding 28.57 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam Malaysia.
Daripada jumlah itu, bahagian pelabur awam Bumiputera menerima 12,109 permohonan bagi 1.968 bilion saham, bersamaan kadar terlebih langgan sebanyak 136.77 kali.
Sementara itu, bahagian pelabur awam Malaysia yang lain menerima 19,625 permohonan bagi 3.966 bilion saham, dengan kadar terlebih langgan sebanyak 276.63 kali.
Selain bahagian awam, sebanyak 71.42 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah dilanggan sepenuhnya.
Sebanyak 11.43 juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan pihak yang layak melalui peruntukan Borang Merah Jambu turut habis dilanggan.
Selain itu 34.28 juta saham yang ditawarkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian juga telah dilanggan sepenuhnya.
Secara keseluruhan, IPO EcoSys melibatkan penerbitan 145.70 juta saham baharu, mewakili kira-kira 25.5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat sebanyak 571.35 juta saham selepas penyenaraian.
Notis peruntukan kepada pemohon yang berjaya akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 8 Oktober 2026.
Fokus perluasan perniagaan
Pengarah Urusan EcoSys, Chan Chee Wei berkata, sambutan terhadap IPO itu memberi dorongan kepada syarikat untuk melaksanakan rancangan pertumbuhan dengan berdisiplin serta terus membangunkan keupayaan teknikalnya.
Beliau berkata, modal yang diperoleh akan digunakan untuk mengembangkan segmen sistem pengurangan bahan pencemar (abatement) milik EcoSys, meningkatkan keupayaan fabrikasi ultra tulen (UHP) dan operasi, selain mengukuhkan kehadirannya di India.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mendekatkan EcoSys dengan pelanggan serta menyediakan kapasiti tambahan untuk merebut peluang dalam ekosistem pembuatan semikonduktor dan solar.
EcoSys merupakan penyedia penyelesaian industri yang memberi perkhidmatan kepada industri semikonduktor, termasuk fabrikasi komponen kejuruteraan berketepatan tinggi dan modul subpemasangan, selain penyelidikan dan pembangunan, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan sistem pengurangan bahan pencemar miliknya.
Produk dan perkhidmatannya digunakan dalam peralatan pembuatan semikonduktor, peralatan pembuatan semikonduktor bahagian hadapan, peralatan pembuatan panel solar fotovoltaik (PV) serta sistem bekalan gas industri.
EcoSys dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 14 Oktober 2026. - DagangNews.com





