Aiman sambar Jersi Asia

27 Sep 2026 • 5:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Aiman sambar Jersi Asia

KAMPAR: Taktik Muhammad Nur Aiman Rosli memburu masa bonus di dua zon pecut membuahkan hasil apabila pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia selepas peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), hari ini.

Aiman mengumpul catatan 4 jam 6 minit 49 saat (4:06:49) untuk mengungguli klasifikasi Pelumba Terbaik Asia selepas meraih masa bonus di zon pecut Ijok dan Kuala Selangor dalam perlumbaan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam ke Kampar.

Pelumba berusia 27 tahun itu yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-70 daripada 119 pelumba dengan catatan 4:06:53s, muncul pelumba ketiga di zon pecut Ijok sebelum menjadi pelumba pertama melintasi zon pecut kedua di Kuala Selangor.

Catatan tersebut meletakkannya di depan pelumba Aisan Racing Team, Hijiri Oda yang turut merekodkan masa 4:06:53s, manakala pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Izzat Hilmi Abdul Jalil turut mencatat masa sama untuk menduduki tempat ketiga.

“Memang Aiman rancang untuk membuat pecahan dan berjaya mendapatkan mata di dua zon pecut.

“Untuk zon ketiga di Teluk Intan, Aiman tidak mampu untuk teruskan kerana sudah terlalu jauh dengan kelompok hadapan.

“Disebabkan itu, saya perlu kayuh dengan bijak untuk simpan tenaga bagi perlumbaan esok dan fokus kepada peringkat berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan, hari ini.

Peringkat 2 LTdL 2026 esok bakal menguji ketahanan pelumba menerusi laluan sejauh 145.6km dari Taiping ke Gunung Jerai yang turut menawarkan tiga zon pecut di Selama, Padang Serai dan Aman Jaya.

Dua zon pendakian pula menanti peloton di Selama pada kilometer ke-53.6 sebelum cabaran utama ke puncak Gunung Jerai.

Gunung Jerai menjadi tumpuan apabila pendakian berkenaan disenaraikan dalam laluan LTdL buat kali pertama sejak perlumbaan itu diperkenalkan pada 1996. – UTUSAN

The post Aiman sambar Jersi Asia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved