
KAMPAR – Tindakan berani melakukan pecahan awal (breakaway) membolehkan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli menyarung Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia pada Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), hari ini.
Pelumba berusia 27 tahun itu memanfaatkan strategi berkenaan bagi mengutip saat bonus berharga di dua zon pecutan awal, sekali gus meletakkannya di kedudukan carta teratas Asia selepas mengharungi laluan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam ke Kampar.
Meskipun melintasi garisan penamat di kedudukan ke-70 dalam kelompok besar daripada 119 pelumba keseluruhan dengan catatan masa 4 jam 6 minit 53 saat (4:06:53s), ganjaran potongan masa bonus membolehkannya memimpin carta Asia dengan catatan masa bersih 4:06:49s.
Kelebihan itu diraih Aiman selepas menduduki tempat ketiga di zon pecut pertama di Ijok sebelum mengungguli zon pecut kedua di Kuala Selangor.
Catatan berkenaan membolehkan juara kebangsaan tujuh kali berturut-turut itu mengatasi pencabar dari Aisan Racing Team, Hijiri Oda (4:06:53s) serta pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil di kedudukan ketiga menerusi catatan masa sama.
Mengulas kejayaannya, Aiman mengakui percaturan awalnya menjadi kenyataan sebelum memutuskan untuk memperlahankan kayuhan pada zon pecutan ketiga di Teluk Intan bagi mengelak pembaziran tenaga.
“Memang saya merancang dari awal untuk membuat pecahan dan bersyukur percaturan itu membuahkan hasil apabila berjaya meraih saat bonus di dua zon pecut pertama.
“Bagaimanapun, di zon pecut ketiga di Teluk Intan, saya memilih untuk tidak meneruskan asakan kerana jurang dengan kelompok hadapan sudah terlalu jauh. Saya perlu mengayuh dengan bijak bagi menyimpan tenaga untuk perlumbaan esok dan fokus kepada peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui media selepas perlumbaan, hari ini.
Ujian getir menanti barisan pelumba pada Peringkat 2 esok yang membabitkan laluan sejauh 145.6km dari Taiping ke puncak Gunung Jerai, yang dijangka merombak kedudukan carta keseluruhan.
Laluan berkenaan menawarkan tiga zon pecut di Selama (km 41), Padang Serai dan Aman Jaya, selain dua zon pendakian di Selama (Kategori 4) serta puncak Gunung Jerai (Kategori 1) yang membuat kemunculan sulung dalam kalendar LTdL sejak diperkenalkan pada 1996.
Menyedari profil laluan mencabar esok, Aiman menegaskan pasukannya perlu merangka strategi berbeza bagi menghadapi cerun curam di Jerai.
“Saya kena ‘simpan kaki’ kerana esok ada peringkat perlumbaan dengan pendakian berkategori tinggi. Rezeki dapat menyarung Jersi Pelumba Terbaik Asia hari ini, tetapi untuk esok kita buat perancangan lain pula,” katanya.
Pada masa sama, Aiman turut menyuarakan sokongan padu kepada rakan sepasukannya, Kee Zhe Yie yang kini berada di tangga kedua carta Raja Bukit (Jersi Polka Dot) di belakang pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov.
“Saya sudah berpesan kepada Zhe Yie agar melakukan yang terbaik untuk pasukan. Harap dia mampu mencipta sesuatu untuk pasukan dan dirinya sendiri esok,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 2026: Percaturan berani Aiman tawan Jersi Terbaik Asia appeared first on Kosmo Online.






