
KUALA LUMPUR – Laluan pendakian Gunung Jerai pada saingan Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dijangka menjadi tarikan utama apabila pihak berkuasa tempatan serta Persatuan Berbasikal Negeri Kedah berhasrat menjadikan lokasi itu sebagai ‘mini Genting’.
Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, kawasan khas untuk para peminat akan disediakan sekitar zon pendakian Gunung Jerai bagi membolehkan penonton menyaksikan secara dekat pelumba beraksi hingga ke garisan penamat.
“Mereka mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin kerana mereka tahu sambutan di Genting luar biasa, jadi kenapa tidak di Jerai? Dari kaki gunung lagi sudah ada sambutan dan apabila naik ke penamat, memang akan dipenuhi penonton di kawasan yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, kesemua 20 pasukan yang mengesahkan penyertaan dijangka mempertaruhkan sekurang-kurangnya dua pakar pendakian bagi menawan laluan berbukit.
Katanya, antara yang dijangka mencuri tumpuan ialah pasukan TotalEnergies yang akan mempertaruhkan enam pelumba pendaki, termasuk bekas pemenang jersi Raja Bukit Giro d’Italia 2021 dan Vuelta a Espana 2019, Geoffrey Bouchard selain Jordan Jegat.
“Perebutan jersi Raja Bukit dijangka sengit membabitkan pendakian Gunung Jerai, Cameron Highlands dari arah Tapah dan Genting Highlands.
“Jadi, bagi meningkatkan cabaran kepada pelumba pendaki tulen, penganjur menaikkan mata bagi zon ‘Hors Categorie’ (HC) daripada 15 kepada 25 mata, sekali gus menjadikan kutipan mata penuh di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands amat bernilai,” katanya.
LTdL 2026 yang akan berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini memasuki edisi ke-30 penganjurannya dengan menampilkan lapan peringkat perlumbaan membabitkan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer (km).
The post LTdL 2026: Laluan Gunung Jerai bakal menjadi ‘mini Genting’ appeared first on Kosmo Online.






