LTdL 2026: Zhe Yie bersemangat buru mata jersi Raja Bukit

27 Sep 2026 • 5:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 2026: Zhe Yie bersemangat buru mata jersi Raja Bukit

KAMPAR – Selepas memainkan peranan penting membantu rakan sepasukan, Muhammad Nur Aiman Rosli menyarung Jersi Terbaik Asia (Jersi Putih), pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie kini mengintai peluang mengutip mata awal perebutan jersi Raja Bukit (KOM) pada Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, esok.

Pelumba muda berusia 23 tahun itu berhasrat memanfaatkan zon pendakian Kategori 4 di Selama pada jarak 53.6 kilometer (km) dengan ketinggian 98 meter bagi mengutip mata berharga, sebelum berdepan ujian getir pendakian mencabar di penghujung perlumbaan.

Peringkat 2 sejauh 145.6km dari Taiping ke puncak Gunung Jerai itu bakal menyaksikan barisan pelumba mengharungi pendakian mencabar Kategori 1 dengan ketinggian puncak mencecah 1,217 meter dari aras laut.

Keyakinan Zhe Yie hadir selepas berjaya menduduki tempat kedua pada zon KOM Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193km, sekali gus mengutip dua mata awal untuk berada di kedudukan kedua carta Raja Bukit di belakang pendahulu, Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) yang mengumpul empat mata.

“Hari ini saya cuba mengejar zon KOM, tetapi ada pelumba yang sudah terlepas ke depan menyebabkan saya sekadar menduduki tempat kedua. Untuk esok, jika ada peluang terhidang, saya mahu cuba mengejar zon KOM pertama di Selama bagi mengumpul mata bukit agar kedudukan saya lebih selesa,” katanya ketika ditemui selepas tamat Peringkat 1, hari ini.

Pada aksi pembukaan berkenaan, komitmen tinggi Zhe Yie turut menjadi faktor penting dalam percaturan taktikal TSG apabila berjaya membantu Aiman menamatkan saingan selaku Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih).

Jelasnya, kepenatan mengharungi kayuhan sejauh 193km di bawah cuaca panas terik terbayar apabila objektif utama pasukan berjaya direalisasikan.

“Laluan hari ini agak mencabar dan jauh ditambah cuaca panas. Mujur keadaan hanya mula terik pada 30km terakhir dan saya masih mampu bertahan tanpa mengalami kekejangan otot. Paling penting, objektif pasukan tercapai apabila Aiman dapat meraih Jersi Putih. Saya berasa sangat puas dapat membantu rakan sepasukan dan melihat kejayaan pasukan hari ini,” katanya.

Menyentuh mengenai cabaran di Gunung Jerai esok, Zhe Yie mengakui laluan berprofil tinggi itu bakal menjadi medan ujian yang berbeza memandangkan dia belum pernah menguji laluan berkenaan.

“Saya sendiri tidak mengetahui keadaan sebenar di sana kerana memang tidak pernah mendaki Gunung Jerai. Strategi saya adalah kekal berada dalam kelompok utama (peloton) terlebih dahulu sebelum cuba meletakkan diri pada posisi terbaik sebaik sahaja pendakian sebenar bermula,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL 2026: Zhe Yie bersemangat buru mata jersi Raja Bukit appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved