
PETALING JAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2027 mahu keluar daripada kekangan bajet yang mengehadkan pilihan pasukan dan pelumba dengan usaha mendapatkan penajaan serta sumber kewangan lebih awal.
Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2026, Emir Abdul Jalal berkata, persiapan lebih awal penting bagi membolehkan pihak penganjur mempunyai lebih banyak pilihan dari segi laluan, pasukan dan pelumba yang bakal menyertai perlumbaan berprestij itu.
Katanya, tarikh LTdL 2027 juga sudah ditetapkan dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), iaitu dari 3 hingga 10 Oktober tahun depan, sekali gus memberi ruang kepada penganjur untuk merancang dengan lebih awal.
“Kalau diberi peluang untuk bermula awal, mungkin kita boleh bermula dengan penajaan dahulu. Apabila kita ada kewangan yang lebih besar, kita mempunyai lebih banyak pilihan. Kita boleh melihat setiap sudut dan memilih apa yang terbaik untuk LTdL,” katanya.
Dalam pada itu, Emir berkata, pemilihan laluan LTdL 2027 masih dalam perancangan, termasuk kemungkinan perlumbaan kembali ke Pantai Timur selepas beberapa tahun laluan berkenaan dibuat secara bergilir antara Pantai Barat dan Pantai Timur.
“Itu masih lagi dalam perancangan (Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands dikekalkan atau tidak). Saya nak cakap sekarang pun tak boleh sebab kita tak tahu sebarang perubahan atau polisi daripada kementerian.
“Kita perlu mengkaji keseluruhan laluan dan bukan sekadar melihat satu-satu lokasi. Semua perkara perlu diambil kira sebelum keputusan dibuat,” katanya.
Emir turut berkata LTdL 2027 akan terus dikendalikan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tempoh 2026 hingga 2028, manakala sebarang penglibatan kementerian lain seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bergantung kepada keputusan kerajaan. – UTUSAN
The post LTdL 2027 mahu keluar daripada belenggu bajet appeared first on Utusan Malaysia.






