LTdL 2027 selepas Sukan SEA

6 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 2027 selepas Sukan SEA

PERLUMBAAN berbasikal berprestij Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-31 sah akan berlangsung pada 3 hingga 10 Oktober tahun hadapan, sekali gus tidak bertembung dengan penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal mengesahkan tarikh berkenaan telah diluluskan serta dimuktamadkan secara rasmi dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Menurut Emir, tarikh tersebut dipilih secara strategik untuk mengisi tempoh peralihan di antara penutup temasya Sukan SEA ke-34 (18 hingga 29 September 2027) dan sebelum bermulanya temasya Sukan Para ASEAN di Malaysia (17 hingga 23 Oktober 2027).

“Tarikh untuk tahun depan sudah disahkan dan berada dalam kalendar UCI iaitu dari 3 hingga 10 Oktober, betul-betul di antara penamat Sukan SEA dan masa peralihan ke Sukan Para ASEAN.

“Tahun hadapan sememangnya tahun sukan penuh buat negara dan warga Majlis Sukan
Negara (MSN). Walaupun petugas bakal berdepan jadual yang tidak menang tangan, ia merupakan platform promosi sukan dan pelancongan yang sangat hebat buat Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan laluan 2027, Emir mendedahkan kemungkinan besar perlumbaan akan kembali meneroka negeri-negeri di Pantai Timur bagi memenuhi sistem penggiliran laluan jelajah.

Selain itu, penganjur turut mempertimbangkan untuk mengekalkan laluan ikonik baharu, Gunung Jerai di Kedah yang mencipta fenomena luar biasa pada edisi kali ini.

“Laluan Pantai Barat dan Pantai Timur sentiasa dalam pertimbangan kita secara bergilir agar peminat di seluruh semenanjung dapat merasai kehangatan jelajah berprestij ini.

“Pendakian Gunung Jerai pula terbukti sangat unik dan mendapat pujian pelumba antarabangsa kerana kecerunannya yang mencabari. Jika kita bermula dari Langkawi atau Perlis, laluan ke Gunung Jerai boleh dijadikan peringkat awal yang sangat menarik,” ujarnya.

 

The post LTdL 2027 selepas Sukan SEA appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved