LTdL 26: Aiman Zariff hanya satu mata rampas takhta Raja Bukit

29 Sep 2026 • 5:24 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Aiman Zariff hanya satu mata rampas takhta Raja Bukit

KUALA KANGSAR – Persaingan merebut takhta Raja Bukit Le Tour de Langkawi 2026  (LTdL 26) semakin sengit apabila pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff kini hanya dipisahkan satu mata daripada pendahulu klasifikasi, Lennart Jasch.

Aiman kini mengumpul 14 mata selepas menambah enam mata menerusi zon pendakian di Gerik pada Peringkat 3 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, hari ini.

Sebelum itu, pelumba berusia 30 tahun berkenaan meraih empat mata di zon pendakian Kategori 2 (CAT2) di Selama pada Peringkat 2 dari Taiping ke puncak Gunung Jerai, semalam.

Kutipan itu menyaksikan Aiman, yang pernah muncul Raja Bukit LTdL pada 2020 dan 2022, kini menghuni tangga kedua klasifikasi dengan 14 mata, hanya satu mata di belakang Jasch dari Tudor Pro Cycling Team yang mengumpul 15 mata.

Situasi berkenaan pastinya menyuntik motivasi tambahan buat Aiman menjelang Peringkat 4 esok yang menawarkan 25 mata bagi pendakian Kategori Hors (HC) ke puncak Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Aiman sedar perebutan Jersi Polka Dot masih terbuka luas kerana dua pendakian utama menanti, termasuk satu lagi pendakian HC di Genting Highlands.

“Memang susah sedikit untuk kejar jersi KOM (Raja Bukit) sebab banyak perkara perlu dilakukan. Kita masih ada dua peringkat yang penamatnya di atas puncak dan ada Hors Category yang menawarkan mata tinggi,” katanya.

Selain Cameron Highlands dan Genting Highlands, Aiman masih berpeluang menambah kutipan mata pada Peringkat 6 yang menawarkan tiga pendakian Kategori 3 (CAT3) di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum.

Justeru, dia menyasarkan sekurang-kurangnya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik klasifikasi Raja Bukit, sambil menyedari kedudukan carta boleh berubah berdasarkan keputusan beberapa peringkat akan datang.

“Aiman sendiri cuba sasar berada dalam kelompok tiga terbaik untuk KOM tetapi tengok esok dan peringkat Genting nanti, siapa yang mendahului dan siapa yang menang peringkat itu.

“Mata mungkin akan bertukar-tukar dan kalau jurang mata tidak jauh, mungkin Aiman akan cuba sehabis baik untuk beberapa peringkat lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman lega apabila tahap fizikalnya masih berada pada keadaan baik selepas mengharungi tiga hari perlumbaan yang mencabar, termasuk pendakian Gunung Jerai pada Peringkat 2.

“Alhamdulillah setakat ini semua baik dan Aiman harap mampu bertahan untuk baki lima hari lagi dan semakin hari semakin dapat memperbaiki kayuhan. Aiman harap ada sesuatu yang boleh dicapai secara peribadi untuk tahun ini,” katanya.

Pada Peringkat 4 esok, Aiman bakal memulakan perlumbaan sejauh 142.3 kilometer (km) dari Meru Raya, Ipoh ke puncak Cameron Highlands dengan menyarung Jersi Polka Dot selepas Jasch, selaku pendahulu klasifikasi Raja Bukit, kini menyarung Jersi Jingga sebagai pemimpin keseluruhan LTdL 2026. -KOSMO! ONLINE

The post LTdL 26: Aiman Zariff hanya satu mata rampas takhta Raja Bukit appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved