
CAMERON HIGHLANDS – Perebutan gelaran Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) semakin sengit menjelang Peringkat 5 berstatus ‘Queen Stage’ yang menawarkan pendakian mencabar ke Genting Highlands, esok.
Peluang untuk merebut Jersi Putih masih terbuka luas selepas pelumba kelahiran Malaysia, Tsen Ren Bao daripada St George Continental Cycling Team muncul wakil negara pertama melintasi garisan penamat Peringkat 4 di Cameron Highlands, hari ini.
Ren Bao yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-39 keseluruhan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan Jersi Putih apabila kini menghuni tangga ketiga dengan ketinggalan 50 saat (s) di belakang pendahulu, Yuhi Todome dari Aisan Racing Team yang merekodkan masa 15 jam 51 minit 50 saat (s).
Seorang lagi pelumba negara, Kee Zhe Yie daripada Terengganu Cycling Team (TSG) pula berada di tangga kedua, hanya 35s di belakang Todome, sekali gus membuka peluang buat kedua-dua pelumba Malaysia itu untuk mencabar pelumba Jepun berkenaan di puncak Genting yang berketinggian 1,629 meter.
Situasi itu turut menyaksikan Ren Bao dan Zhe Yie bukan sahaja perlu mengejar Todome, malah berdepan persaingan sesama sendiri dalam perebutan kedudukan terbaik Pelumba Asia pada pendakian berstatus Hors (HC) esok.
Mengulas aksinya di Cameron Highlands, Ren Bao mengakui sedikit terkilan apabila gagal bertindak pantas untuk melakukan pecutan pada beberapa kilometer terakhir menuju garisan penamat untuk merapatan kedudukan catatan masa.
“Secara peribadi, saya berasa sangat baik sepanjang perlumbaan dan selesa mengekori kelompok utama. Namun, saya melakukan sedikit kesilapan beberapa kilometer sebelum garisan penamat apabila gagal bertindak pantas ketika kelompok hadapan mula memecut.
“Ia menyebabkan saya kehilangan beberapa saat berharga dalam persaingan Jersi Putih. Apapun, pendakian tadi sangat memuaskan kerana saya berbadan ringan dan menyukai rentak laju seperti ini. Saya amat menantikan ujian di Genting esok,” katanya.
Peringkat 5 turut menjanjikan pertarungan menarik buat keluarga Tsen apabila Ren Bao dijangka bersaing dengan adiknya, Tsen Ren Han, 19, yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
“Saya sangat teruja untuk bersaing satu lawan satu dengannya di Genting. Ren Han juga seorang pelumba berbadan ringan, jadi dia mempunyai kelebihan tersendiri di laluan pendakian yang lebih curam,” katanya.
Peringkat 5 esok akan bermula dari Tapah menuju Genting Highlands sejauh 125.7 kilometer (km), dengan tiga zon pecutan di Slim River, Tanjung Malim dan Batang Kali.
Laluan itu turut menawarkan satu zon pendakian di Genting Highlands yang dikategorikan sebagai HC, sekali gus dijangka menjadi penentu penting dalam perebutan Jersi Putih dan kedudukan keseluruhan.
Dalam saingan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team kekal di hadapan dengan catatan masa 15:46:50s, diikuti dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone yang ketinggalan 20s dan Jan Castellon dengan jurang 38s.
Jersi Raja Pecut pula masih menjadi milik Matteo Malucelli daripada XDS Astana Team dengan 32 mata, diikuti Riley Pickrell (MAP) dengan 24 mata dan Ronan Augé (Unibet Rose Rockets) dengan 14 mata. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Ren Bao, Zhe Yie cabar Todome rebut Jersi Asia di Genting Highlands appeared first on Kosmo Online.






