
PELUMBA muda Tudor Pro Cycling Team, Lennart Jasch melakar sejarah tersendiri apabila muncul penakluk pertama puncak Gunung Jerai, sekali gus merampas Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan (GC) pada Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), semalam.
Pelumba berusia 24 tahun kelahiran Jerman itu mempamerkan kayuhan bertenaga pada zon pendakian berketinggian 971 meter (m) dari aras laut berkenaan untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 37 minit 21 saat (3:37:21s), bagi menamatkan laluan sejauh 145.6 kilometer (km) dari Taiping.
Kemenangan itu membolehkan Jasch merampas jersi idaman berkenaan daripada penyarung terdahulu, Matteo Malucelli (XDS Astana Team) yang ketinggalan jauh di belakang sehingga gagal menamatkan saingan dalam kelompok hadapan.
Lebih manis, kayuhan solo bertenaga Jasch di kilometer terakhir berjaya menafikan kebangkitan dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA iaitu Abel Balderstone yang akur di tempat kedua dengan perbezaan 16 saat (3:37:37s), disusuli Jan Castellon di tempat ketiga.
Kejayaan di zon pendakian Kategori 1 itu turut membolehkan Jasch menyapu bersih Jersi Polka Dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 15 mata, mengatasi Balderstone (12 mata) dan Castellon (10 mata).
Dalam carta perebutan gelaran keseluruhan, Jasch kini selesa memimpin perlumbaan dengan catatan masa 7 jam 44 minit 04 saat (7:44:04s), berkelebihan 20 saat di hadapan Balderstone dan 38 saat mengatasi Castellon.
Mengulas kejayaannya memintas Balderstone pada saat-saat akhir, Jasch mengakui terpaksa meletakkan sepenuh kudrat menerusi percaturan nekad pada baki dua kilometer terakhir.
“Sebenarnya Balderstone berada kira-kira 25 saat di hadapan ketika perlumbaan berbaki dua kilometer. Saya sedar perlu membuat keputusan pantas untuk membuat pecutan.
“Pendakian di sini sangat sukar, panjang dan cuacanya amat panas serta lembap. Anda hanya fokus untuk mengerah kudrat sekuat mungkin dan berharap garisan penamat segera tiba,” katanya yang gembira namanya terpahat selaku pemenang pertama di Gunung Jerai sejak LTdL diperkenalkan pada 1996.
Bagaimanapun, Jasch enggan mendabik dada mengenai peluangnya menjulang mahkota keseluruhan LTdL 2026.
“Perjalanan masih jauh, kita baru menamatkan Peringkat 2 dan ada enam lagi peringkat menanti termasuk dua laluan yang sangat sukar. Kami akan kekal fokus hari demi hari,” jelasnya yang turut memuji kerjasama erat pasukannya.
Sementara itu, penguasaan Jersi Biru (Raja Pecut) masih kekal milik Malucelli yang mengumpul 17 mata, diekori pencabar terdekat, Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling (12 mata) dan Fernando Gaviria Rendon mewakili Caja Rural-Seguros RGA (sembilan mata).
Saingan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Asia) pula bertukar tangan kepada pelumba Jepun daripada Aisan Racing Team, Yuhi Todome yang merakamkan masa keseluruhan 7:49:04s, menyingkirkan penyarung terdahulu, Muhammad Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling Team) yang tercicir daripada kelompok utama.
Pelumba muda TSG, Kee Zhe Yie muncul pelumba terbaik Malaysia dan kedua terbaik Asia selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-27 keseluruhan (+5:15s di belakang Jasch), manakala wakil Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi dinobatkan selaku
Pelumba Paling Agresif (Most Combative Rider) susulan keberaniannya memacu zon pecutan awal.
Saingan Peringkat 3 esok membabitkan laluan sejauh 189.7km dari Sungai Petani ke Dataran Pavilion, Kuala Kangsar yang dijangka kembali memberi ruang buat pakar pecut berentap.
The post LTdL 26: Jasch tidak mahu mendabik dada appeared first on Kosmo Online.






