
GUNUNG JERAI – Kejayaan muncul pelumba tempatan pertama melintasi garisan penamat Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) di puncak Gunung Jerai menyuntik tonik berharga buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie untuk memburu penamat terbaik pada edisi kali ini terutama.
Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan laluan sejauh 145.6 kilometer (km) dari Taiping di kedudukan ke-27 keseluruhan, sekali gus meletakkannya di tangga kedua carta Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dengan hanya dipisahkan 15 saat di belakang wakil Aisan Racing Team dari Jepun, Yuhi Todome.
Pencapaian memberangsangkan pada zon pendakian berketinggian 971 meter (m) dari aras laut itu menjadi pembakar semangat untuk Zhe Yie menghadapi dua lagi ujian getir bertaraf Hors Categorie (HC) di Cameron Highlands dan Genting Highlands, tidak lama lagi.
Menceritakan detik perlumbaan, Zhe Yie mengakui perancangan awalnya untuk menyertai kelompok pecahan (breakaway) bagi memburu mata Raja Bukit (KOM) di Selama tidak kesampaian, memaksanya menukar taktikal pada pendakian terakhir.
“Perancangan asal saya hari ini sebenarnya mahu menyertai breakaway dan memburu zon KOM di Selama, tetapi tidak berjaya melepaskan diri. Jadi, saya menumpukan sepenuh fokus pada pendakian terakhir menuju ke puncak Gunung Jerai.
“Saya tidak meletakkan sasaran khusus, sebaliknya hanya mahu menghabiskan perlumbaan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan, hari ini.
Mengulas persaingan merebut Jersi Putih, Zhe Yie mendedahkan dia mendapat suntikan semangat daripada jurulatih untuk mencabar kedudukan pendahulu Asia, namun terpaksa akur dengan kepantasan Todome yang memintasnya dari belakang.
“Jurulatih ada memberi galakan bahawa saya berpeluang bersaing merebut gelaran Pelumba Terbaik Asia, namun pelumba Jepun itu berjaya mengejar dari belakang dan saya terpaksa berpuas hati di tempat kedua,” jelasnya yang pertama kali menguji puncak Gunung Jerai
Menjelang dua laluan pendakian mencabar seterusnya di Cameron Highlands dan Genting Highlands, Zhe Yie memilih untuk tidak meletakkan tekanan di bahunya, sebaliknya melihat saingan secara positif bersama pelumba tempatan lain termasuk Ren Bao Tsen yang mewakili St George Continental Cycling Team.
“Saya enggan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Malaysia turut memiliki pelumba berpotensi seperti Ren Bao yang membuktikan kayuhan bertenaga hari ini. Apa yang penting, kami cuba berikan yang terbaik bersama-sama tanpa mengira siapa di hadapan,” katanya.
Perlumbaan Peringkat 3 esok, dijadual mengharungi laluan landai dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar sejauh 189.7km, sebelum kembali berdepan ujian mendaki pada Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands disusuli Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands. -KOSMO! ONLINE
The post Zhe Yie beri tentangan sengit Jersi Asia di Gunung Jerai appeared first on Kosmo Online.






