LTdL 26: Ronan Auge mula berkomunikasi selepas kemalangan

4 Oct 2026 • 11:37 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Ronan Auge mula berkomunikasi selepas kemalangan

MUAR – Pelumba Unibet Rose Rockets, Ronan Auge yang terbabit dalam kemalangan ngeri pada Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) Jumaat lalu, kini dilaporkan sudah sedar dan mula berkomunikasi dengan keluarganya.

Lebih melegakan, pelumba berusia 22 tahun dari Perancis itu menunjukkan perkembangan positif selepas sedar daripada induced coma dan kini mampu berinteraksi bersama ahli keluarganya yang tiba di Kuala Lumpur semalam.

Image from: LTdL 26: Ronan Auge mula berkomunikasi selepas kemalangan
Pengarah Sukan Unibet Rose Rockets, Joram Grootveld ditemui pemberita semalam.

Pengarah Sukan Unibet Rose Rockets, Joram Grootveld berkata, laporan pasukan perubatan menunjukkan keadaan Auge semakin bertambah baik, biarpun pelumba itu masih memerlukan tempoh pemulihan yang panjang susulan kecederaan serius dialaminya.

“Ronan sudah sedar daripada koma secara perubatan dan petanda awal sangat memberangsangkan. Dia sudah boleh berinteraksi dengan keluarganya yang datang menziarahinya semalam dan mereka dapat meluangkan masa bersama.

“Sudah tentu dia masih memerlukan tempoh pemulihan yang panjang, namun kami sangat bersyukur melihat perkembangan positif yang ditunjukkannya dari semasa ke semasa hasil rawatan rapi pihak hospital.

“Melihat kepada impak kemalangan yang dialaminya, proses pemulihannya menuju ke arah yang sangat baik dan pantas. Kami berdoa agar perkembangan positif ini berterusan,” katanya ketika ditemui sebelum pelepasan Peringkat 8 LTdL26 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.

Image from: LTdL 26: Ronan Auge mula berkomunikasi selepas kemalangan
RONAN Auge ketika mendapat rawatan awal pihak LTdL dan kini dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai kemungkinan membawa Auge pulang ke Perancis bagi mendapatkan rawatan lanjut, Grootveld berkata perkara itu masih belum dapat diputuskan dalam masa terdekat kerana kestabilan fizikal pelumba berkenaan menjadi keutamaan.

“Dia mengalami beberapa keretakan tulang yang agak serius dan keadaannya perlu dipastikan benar-benar stabil sebelum sebarang perjalanan jauh dibenarkan.

“Buat masa ini, kami belum dapat menetapkan bila dia boleh pulang ke Perancis kerana perkara paling penting adalah memastikan keadaannya stabil terlebih dahulu,” katanya.

Auge sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas terbabit dalam kemalangan ketika mengharungi Peringkat 6 LTdL26 dari Pandan Indah ke Rembau, Jumaat lalu.

Akibat kemalangan itu, beliau mengalami kecederaan serius dan terpaksa diletakkan di bawah pemantauan rapi (induced coma) bagi membantu mengawal dan mengurangkan risiko komplikasi akibat kecederaan yang dialaminya.

Auge sebelum ini beraksi cemerlang di LTdL 26 apabila dua kali menduduki tempat keempat pada Peringkat 1 (Kampar) dan Peringkat 3 (Kuala Kangsar). -KOSMO! ONLINE

 

The post LTdL 26: Ronan Auge mula berkomunikasi selepas kemalangan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved