
PUTRAJAYA – Pelumba berbakat negara, Tsen Ren Bao melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Malaysia keseluruhan selain menamatkan saingan di tangga kedua terbaik Asia pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang melabuhkan tirainya di sini, hari ini.
Pelumba berusia 23 tahun yang bersaing bersama pasukan St George Continental Cycling Team itu menamatkan perlumbaan sejauh lapan peringkat berkenaan di tangga ke-25 klasifikasi individu keseluruhan (GC) dengan catatan masa 29 jam 8 minit 7 saat.
Pencapaian itu turut menyaksikan Ren Bao ketinggalan 3 minit 44 saat di belakang
pelumba Aisan Racing Team dari Jepun, Yuhi Todome yang dinobatkan sebagai Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dengan catatan 29 jam 4 minit 23 saat.
“Perasaan saya ketika ini kosong dan sangat penat, namun saya berbangga dapat menamatkan saingan di tempat kedua Asia.
“Walaupun tidak berjaya membawa pulang
jersi itu tahun ini, saya berazam untuk kembali memburunya pada edisi akan datang,” katanya.
Kejayaan Ren Bao turut diserikan dengan sokongan padu ahli keluarganya di garisan penamat, termasuk kakaknya yang sudah tiga tahun tidak ditemuinya serta bapanya, Tsen Seong Hoong yang juga bekas pelumba kebangsaan.
“Kehadiran kakak memberi suntikan semangat yang sangat bermakna kerana sudah
tiga tahun kami tidak berjumpa, selain ayah yang turut hadir memberikan sokongan
penuh kepada saya dan adik (Ren Han).
“Pengalaman beraksi tiga kali di LTdL
banyak membantu saya mengawal perlumbaan dan mengelak situasi berbahaya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post LTdL 26: Ren Bao muncul pelumba kedua terbaik Asia appeared first on Kosmo Online.






